Berita

Penduduk gesa Perdana Menteri tidak tangguhkan projek pembangunan Kampung Sungai Baru

- Diterbit 4 Februari 2023 4:28 AM MYT

PERSATUAN Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru (PKPHKSB), Kampung Baru meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberi sebarang penangguhan dan meneruskan projek pembangunan semula yang tertangguh sejak enam tahun lalu dengan segera.

Wakil penduduknya, Mohd Adam Abd Aziz berkata perancangan pembangunan oleh pemaju telah bermula sejak tahun 2016 dan telah berpindah bagi memberi laluan kepada pembangunan ini.

“Keadaan rumah kami amatlah daif, sudah usang dan ada yang tidak selamat untuk diduduki malah penduduk yang bersetuju telah menunggu pembangunan ini selama tujuh tahun.

“Purata usia kami lebih 70 tahun dan
mengharapkan rumah ganti dapat dinikmati untuk menghabiskan sisa hidup di Kampung Sungai Baru ini,” katanya yang turut mewakili 264 penduduk.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin di Kampung Baru hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Datuk Lokman Omar.

Sementara itu, Azman berkata memorandum tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri untuk diteliti sebelum membuat keputusan berkenaan projek tersebut.

Terdahulu, Perdana Menteri telah menangguhkan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru bagi memberi laluan kepada rundingan di antara 37 penduduk yang tidak bersetuju dengan pihak berkepentingan untuk menyelesaikan isu berbangkit.

Sebelum ini penduduk terjejas meminta campur tangan Anwar setelah mereka diarah mengosongkan rumah sebelum 19 Jan, 30 hari selepas notis pengusiran dikeluarkan.

Pada 19 Disember 2022, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) mengeluarkan notis pengusiran kepada penghuninya yang merupakan pemegang pajakan 99 tahun, masih berbaki 57 tahun.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas