Berita

JPNIN peruntuk RM30.07 juta sedia kemudahan Tadika, Taska Perpaduan tahun ini

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 27 Mac 2024 3:35 PM MYT

JABATAN Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) memperuntukkan RM30.07 juta bagi menyediakan kemudahan pembelajaran kepada 1,781 Tadika Perpaduan dan 41 Taska Perpaduan di seluruh negara tahun ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata peruntukan itu meliputi penyediaan buku aktiviti, kit pemula seperti baju seragam dan beg sekolah serta perlindungan insurans kemalangan diri berkelompok membabitkan 36,000 murid Tabika Perpaduan dan 1,000 murid Taska Perpaduan seluruh negara.

“Kemudahan ini diharap dapat memastikan semua murid kembali ke alam persekolahan dengan lebih bersedia, selamat dan bersemangat untuk belajar,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Cilik Perpaduan Kembali Ke Tabika Perpaduan dan Taska Perpaduan Tahun 2024 di sini, hari ini.

Beliau turut menyentuh mengenai cadangan kementerian untuk menambah bilangan Tadika Perpaduan dan Taska Perpaduan khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Aaron berkata cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam tempoh terdekat memandangkan jumlah kedua-dua taska berkenaan tidak bertambah sejak 2013.

Sementara itu beliau berkata JPNIN juga akan menyeragamkan penyediaan kemudahan internet kepada Tabika dan Taska Perpaduan dengan menggunakan pelan langganan CelcomDigi berjumlah RM1.4 juta tahun ini.

Beliau berkata melalui penyeragaman itu, kementerian dapat membuat penjimatan sehingga RM997,969 setahun berbanding penggunaan khidmat pelbagai pembekal telco sedia ada.

“Kementerian menyokong pendidikan digital selari dengan sistem pembelajaran yang mengalami perubahan pesat, dan menerusi JPNIN kami komited memastikan semua kelas Tabika dan Taska Perpaduan mendapat kemudahan internet yang terbaik,” katanya.

Selain itu Aaron berkata JPNIN turut membangunkan sistem e-Tabika Perpaduan (eTP) yang bertujuan memudahkan pengurusan dan pengoperasian Tabika Perpaduan.

Katanya melalui sistem itu, semua data dan maklumat berkaitan dengan pengurusan Tabika Perpaduan akan dapat disimpan dengan lebih teratur, selamat dan sistematik. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas