Berita

JPJ Perak keluar 6,212 saman, notis sejak awal tahun

- Diterbit 10 Februari 2021 7:22 AM MYT

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengeluarkan sebanyak 6,212 saman dan notis atas pelbagai kesalahan jalan raya sejak awal Januari hingga semalam termasuk dalam sekatan jalan raya (SJR) sempena Op COVID-19 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata terdapat tujuh lokasi SJR yang menempatkan anggota JPJ negeri ini iaitu di Tol Ipoh Utara arah Selatan dan Tol Ipoh Selatan arah Utara, Keramat Pulai, Jalan Changkat Jering, Km 43 Jalan Teluk Intan-Sitiawan, di Stesen Penguatkuasa JPJ Gerik dan Stesen Penguatkuasa JPJ Kuala Kangsar (SPKK).

“JPJ telah mengadakan kolaborasi mapan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mencegah penularan COVID-19 serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terhadap pengangkutan dan logistik yang melibatkan perkhidmatan awam dan perdagangan serta pemantauan.

“Kita mengambil tindakan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya pada sidang media selepas meninjau SJR dan penyerahan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di SPKK di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah saman dan notis dikeluarkan itu menunjukkan penurunan sebanyak 2,758 kesalahan yang dikesan berbanding sejumlah 8,970 yang dikeluarkan dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Beliau berkata sejak awal tahun ini, sebanyak 1,823 saman dan notis dikeluarkan kepada kenderaan persendirian, 4,333 kepada kenderaan perdagangan dan 56 bagi pengangkutan awam seperti bas dan teksi.

Mohammad Yusoff berkata pada tahun lepas pula, sebanyak 6,517 saman dan notis dikeluarkan kepada kenderaan persendirian, 2,364 kepada kenderaan perdagangan dan 89 saman bagi pengangkutan awam.

“Mereka yang dikenakan saman itu mengambil mudah dalam mematuhi SOP yang ditetapkan dan saya harap pengguna patuhi arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Beliau berkata Unit Penguatkuasa Bermotosikal (UPB) akan membuat rondaan sepanjang sambutan Tahun Baru Cina dalam usaha membantu kerajaan menangani penularan COVID-19 serta SOP yang ditetapkan oleh MKN dan Kementerian Kesihatan.

Katanya, tumpuan utama dan strategi penguatkuasaan adalah seperti rondaan di jalan utama negeri dan lebuh raya, sekatan jalan raya yang mengkhususkan kenderaan awam dan barangan serta pemeriksaan bas di terminal bas utama. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas