Berita

Pasar Siti Khadijah jadi transit rokok seludup – Kastam Kelantan

TOPSHOTS Local women traders sell their goods at the colorful Siti Khadijah market in Kota Bharu on June 5,2014. The colorful market known locally as Pasar besar Siti Khadijah, is named after Prophet Muhammad's wife, known for her entrepreneurial skills and is run by majoritively women traders. AFP PHOTO/ Manan VATSYAYANAMANAN VATSYAYANA/AFP/Getty Images ORG XMIT:
- Diterbit 10 Februari 2021 7:18 AM MYT

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mendapati ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan menjadikan Pasar Siti Khadijah di sini sebagai transit bagi penyeludupan rokok haram.

Kegiatan itu dikesan hasil serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasa Kastam di pasar itu pada pukul 10.30 pagi semalam hasil risikan dan maklumat awam.

Pengarah JKDM Kelantan Mohd Rakbi Mohd Saud berkata, dalam operasi selama dua jam itu pihaknya berjaya menemukan sebanyak 48,000 batang rokok putih yang dianggarkan bernilai RM8,488 dengan nilai cukai sebanyak RM34,086.40.

Beliau berkata kesemua rokok jenama Saat itu dijumpai disimpan di stor penyimpanan barang di sebuah gerai peniaga di situ namun tiada tangkapan dilakukan.

“Kita percaya kesemua rokok itu diseludup masuk dari negara jiran melalui laluan tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand atau pesisir pantai negeri ini.

“Modus operandi yang digunakan penyeludup ini adalah dengan mencampurkan rokok-rokok seludup tersebut dengan pelbagai barangan lain seperti sayur-sayuran, ikan dan buah-buahan bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, siasatan yang dijalankan pihak kastam percaya kesemua rokok yang dirampas ini adalah untuk pasaran tempatan dan negeri Pantai Timur.

“JKDM Kelantan sedang menyiasat pemilik gerai berkenaan bagi mengenal pasti pihak-pihak yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Pihak kastam menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya.

Beliau berkata pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan.

Rokok jenama Saat amat popular di negeri ini namun harganya kini meningkat daripada RM5.50 ke RM9 sekotak disebabkan kesukaran mendapatkan bekalan hasil penguatkuasaan ketat oleh agensi-agensi penguat kuasa di negeri ini sempena Op Benteng. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas