Berita

JIM tahan 67 warga asing dalam Ops Gegar, Ops Dandan sekitar Johor Bahru

Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan operasi tersebut
- Diterbit 9 Januari 2024 11:26 AM MYT

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 68 orang melibatkan 67 warga asing dan seorang warga tempatan dalam operasi Ops Gegar dan Ops Dandan di tujuh lokasi sekitar Johor Bahru, Johor pada Ahad lepas.

Operasi tersebut bermula sekitar pukul 3.20 petang dianggotai sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguat kuasa JIM Negeri Johor.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi telah diatur gerak ke premis-premis dan menahan kesemua suspek warga asing yang terdiri daripada 34 warga Myanmar (24 lelaki dan 10 wanita), 16 wanita warga Vietnam, 14 warga Indonesia (13 wanita dan seorang lelaki), seorang lelaki warga Filipina serta seorang lelaki warga Pakistan yang berusia antara 19 hingga 42 tahun.

“Sementara itu, seorang lelaki warganegara Malaysia dan seorang perempuan warganegara Vietnam berusia 51 tahun dan 32 tahun yang dipercayai penjaga premis turut ditahan dalam operasi itu.

“Hasil semakan awal mendapati warganegara asing ini menggunakan kemudahan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dimiliki untuk bekerja dengan majikan atau syarikat yang lain di negara ini manakala terdapat warganegara asing lain yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ruslin, pasukan operasi telah merampas satu gugus kunci premis, enam naskhah pasport Vietnam, 19 helai tuala, tujuh set peralatan mengurut, dua set peralatan perawatan kuku, sebuah telefon pintar, beberapa buku rekod pelanggan dan wang tunai berjumlah RM844.

“Premis-premis ini dipercayai telah beroperasi lebih 1 tahun dan mampu menjana pendapatan sebanyak sekitar RM140,000.00 sehari dan boleh mencecah RM4.2 juta sebulan.

“Warganegara asing yang bekerja di premis-premis ini telah dibayar gaji antara RM1500 hingga RM2000 sebulan oleh majikan,” ujarnya.

Jelas Ruslin, kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Setia Tropika, Johor.

“Lelaki warga tempatan yang ditahan itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 manakala wanita warganegara Vietnam ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Sebanyak 13 notis hadir ke pejabat dikeluarkan kepada beberapa individu dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan,” katanya.

Ruslin menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.

Tambah beliau, tindakan pendakwaan akan dikenakan terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.

“Kami menasihatkan kepada majikan supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.

“Kami akan sentiasa mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari masa ke masa dalam membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas