Berita

Jepun bergerak seiring dengan pelan strategik dan visi komuniti ASEAN 2045

- Diterbit 20 Februari 2024 10:05 AM MYT

DALAM usaha untuk memperkukuh kerjasama serantau, Jepun akan bekerjasama rapat dengan ASEAN sepanjang tahun 2024 dengan matlamat menyelaraskan inisiatif Jepun dengan Pelan Strategik dan Visi Komuniti ASEAN 2045.

Duta Jepun ke ASEAN Masahiko Kiya berkata penyelarasan itu dijangka mencapai kemuncak apabila Malaysia menjadi pengerusi badan serantau berkenaan pada tahun 2025.

Beliau menyuarakan harapan agar penglibatan Jepun akan menyuntik impak dalam pelaksanaan visi dan pelan strategik Malaysia yang akan datang.

Sambil menyatakan bahawa Jepun mahu mendapatkan input daripada Malaysia yang bakal menjadi pengerusi ASEAN, beliau berkata: “Kami mahu mendengar keutamaan Malaysia berbanding memberikan cadangan.”

Pengumuman itu dibuat di Japan-ASEAN Roundtable on Geopolitical and Geoeconomic Shifts anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).

Acara itu, menandakan ulang tahun ke-50 hubungan Jepun-ASEAN dan sebagai susulan kepada sidang kemuncak peringatan yang diadakan di Tokyo pada Disember 2023.

Semasa Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN di Luang Prabang, Laos, pada akhir Januari, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata penggubalan Pelan Strategik ASEAN Political Security Community (APSC) telah pun bermula.

Beliau berkata Malaysia bersedia menerima pakai Visi Komuniti ASEAN 2045 dan Pelan Strategiknya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 2025.

Kiya turut menekankan sokongan berterusan Jepun terhadap blok serantau itu, khususnya dalam menyokong Laos selaku pengerusi ASEAN tahun ini.

Bantuan Jepun merangkumi pelbagai bidang, termasuk Pusat Penyelarasan ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan dalam isu Myanmar dan memupuk daya tahan kesalinghubungan sejajar dengan tema yang dipilih oleh Laos.

Dalam ucaptamanya, Kiya mengulas mengenai perkongsian Jepun-ASEAN yang terjalin sejak lima dekad lepas dan menekankan tentang keperluan untuk memperkukuh pelaburan dalam pertukaran antara rakyat dan budaya.

Beliau berkata ASEAN memainkan peranan sangat penting bagi Jepun kerana lokasinya yang strategik di Indo-Pasifik.

Kiya memuji ASEAN kerana telah menjadi peneraju utama di rantau ini, menarik rakan kongsi global dan memupuk kerjasama pelbagai lapisan.

Mengenai peranan Jepun dalam meningkatkan perdagangan intra serantau ASEAN,  beliau  mencadangkan kerjasama untuk membangunkan produk ‘Made In ASEAN’.

Beliau turut menyentuh mengenai pencemaran dan penduduk yang semakin menua selain  menawarkan pengalaman Jepun sebagai sumber yang boleh memberi manfaat kepada ASEAN dalam menangani isu-isu berkenaan.

Diasaskan pada 8 Ogos 1967, ASEAN merangkumi Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, mewakili blok geopolitik dan ekonomi yang penting di rantau ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas