Berita

JaPen dalam proses selaras SOP KPM termasuk tempoh sah laku

- Diterbit 5 Mac 2024 11:20 PM MYT

JABATAN Penerangan Malaysia (JaPen) sedang menyelaras prosedur operasi standard (SOP) kad perakuan media (KPM) JaPen termasuk berkaitan tempoh sah laku kad berkenaan.

JaPen dalam kenyataan malam ini memaklumkan bahawa walaupun proses penyelarasan itu akan mengambil sedikit masa, pengamal media masih boleh memperbaharu kad perakuan media mereka yang telah tamat tempoh.

“Penyelarasan ini juga mengambil kira dokumen Kod Etika Wartawan Malaysia (KEWM) Malaysian Press Institute (MPI) yang telah dikemas kini baru-baru ini.

“Sebaik sahaja proses penyelarasan SOP kad perakuan media ini selesai, JaPen akan mengemas kini segala maklumat yang berkaitan dalam sistem eMedia JaPen yang boleh diakses melalui https://emedia.penerangan.gov.my/,” menurut kenyataan itu.

Menurut JaPen, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil semasa majlis peluncuran Pengemaskinian Kod Etika Wartawan pada 20 Februari lepas turut meminta JaPen agar meneliti semula tempoh sah laku KPM JaPen bagi media antarabangsa dan media dalam talian. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas