Berita

Jadikan Labuan pulau sihat

ZULKEFLY menandatangani plak perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Klinik Kesihatan Bebuloh baru-baru ini. Turut kelihatan Amir (kiri) dan Rozman (dua dari kiri).
- Diterbit 7 November 2019 6:44 AM MYT

Oleh Md. Khairul Azad Yunus dan Jeffrey Nian

LABUAN – Komitmen Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan (JKWP Labuan) untuk merealisasikan Labuan sebagai Pulau Sihat telah mencapai banyak kejayaan termasuk penurunan kadar penyakit antaranya demam denggi dan tibi sepanjang 10 bulan tahun ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kes demam denggi menurun sehingga 64.2 peratus atau 34 kes berbanding 95 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas manakala kes penyakit tibi turun sebanyak 14.4 peratus atau 83 kes berbanding 97 kes dan kes demam campak turun 66.7 peratus atau dua kes berbanding enam kes dalam tempoh sama.

“JKWP Labuan sebagai peneraju perkhidmatan kesihatan yang berkualiti telah meletakkan hala tuju perkhidmatan kesihatan di Labuan untuk terus mengorak langkah maju ke hadapan.

“Hala tuju ini adalah melalui usaha komited untuk memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada penduduk Labuan dengan visi, misi dan objektif yang fokus ke arah menjadikan Labuan sebagai Pulau Sihat,’’ katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Klinik Kesihatan Be­buloh di Kampung Bebuloh Laut di sini baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dan Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussein.

Dzulkefly berkata, hala tuju itu juga menfokuskan kepada perancangan menjadikan Labuan sebagai hab kepakaran perubatan bagi Zon Borneo dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan dengan memaksimakan potensi kesihatan penduduk.

“Kejayaan lain yang telah dicapai oleh JKWP Labuan adalah dalam aspek pembangunan kesihatan primer iaitu Labuan mendahului ne­geri-negeri lain dengan te­lah mewujudkan ‘extended services’ di klinik-klinik desa seluruh Labuan.

“Pencapaian ini menjadikan Labuan sebagai negeri yang mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan kepada keselurahan warganya. Transformasi yang diperkenalkan ini telah mendapat penerimaan yang baik daripada warga Labuan,’’ katanya.

Dalam pada itu jelas beliau, perkhidmatan hospital juga telah ditambah baik antaranya melalui penambahan kepakaran perubatan, tenaga kerja dan peralatan-peralatan sokongan kepada perkhidmatan yang diwujudkan di Hospital Labuan.

“Bilangan pakar perubatan juga telah bertambah daripada lima orang kepada 18 orang pakar pada masa ini dan bilangan ini akan terus dipertingkatkan.

“Terkini kementerian menerusi Belanjawan 2020 turut menyenaraikan Hospital Labuan mendapat sebahagian peruntukan untuk projek menaik taraf hospital,’’ katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan berharap Klinik Kesihatan Bebuloh yang bakal dibangunkan kelak akan dapat digunakan semaksimumnya untuk peningkatan kualiti perkhidmatan kesihatan di Labuan.

“Saya berharap program transformasi dan aktiviti-aktiviti ke arah halatuju Labuan Pulau Sihat disokong sepenuhnya oleh warga Labuan untuk memaksimumkan potensi kesihatan di Labuan,’’ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas