Berita

Bird Race 2019 warnai kalendar Putrajaya

SULAIMAN (kanan) menunjukkan senarai-senarai burung yang
- Diterbit 7 November 2019 6:41 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto Ihsan FARIS AZMI (Jurufoto PPj)

BERSEMPENA sambutan ulang tahun ke-25 Putrajaya dan Tahun Melawat Malaysia 2020, Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Nature Educational Society (Nest) menganjurkan Program Bird Race 2019 pada 16 November ini bertempat di Taman Wetland.

Penganjuran tersebut merupakan ‘kick off’ program bagi mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi terbaik bagi Urban Birding dan eko pelancongan.

Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj), Tengku Aina Tengku Ismail Shah, pihaknya juga berasa bangga kerana Putrajaya dipilih dan dijadikan wilayah hotspot burung serta diiktiraf antarabangsa.

“Dengan pengiktirafan ini, secara tidak langsung dapat
meningkatkan lagi kehadiran lebih ramai pencinta burung dari dalam dan luar negara untuk datang ke wilayah rasmi kerajaan Persekutuan.

“Kita berharap dengan adanya program seumpama ini, warga Putrajaya khususnya dapat menanamkan rasa kecintaan terhadap flora dan fauna sekali gus dapat bersama-sama menjaga alam sekitar,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Selain itu, kata Tengku Aina, program-program berkaitan burung untuk pelancongan juga dapat diadakan dan pada masa sama meningkatkan ekonomi setempat berikutan terdapat kemasukan pelancong.

Mengulas tentang Program Bird Race, ujar beliau, pertandingan yang diadakan adalah berkonsepkan tresure-hunt iaitu peserta perlu mencari dan mencatat jenis burung yang dijumpai di dalam buku log yang disediakan.

Jelasnya, Taman Wetland dipilih kerena merupakan salah satu lokasi taman rekreasi yang mempunyai banyak flora dan fauna termasuk ratusan spesis burung.

“Terdapat lebih kurang 200 spesis burung direkodkan di Wetland antaranya Yellow Bittern, Painted Stork, Grey Heron dan Black Shouldered Kite. Selain itu, terdapat juga 1,740 spesis serangga, 22 spesis reptilia dan sebagainya di samping kehadiran burung- burung hijrah.

“Peserta juga boleh melihat spesis-spesis burung di beberapa lokasi lain iaitu Taman Botani, Upper Bisa, Taman Rimba Alam, Taman Cabaran Putrajaya dan Taman Saujana Hijau,” katanya.

Tambah Tengku Aina, bagi menarik minat warga Putrajaya untuk hadir ke program berkenaan, pihaknya juga menyediakan beberapa aktiviti lain yang meliputi semua golongan umur antaranya, pertandingan mewarna, memanah tradisional, bengkel origami, permainan tradisional, pameran dan pertandingan fotografi burung.

Dalam pada itu, jurucakap Nature Educational Society (NEST) Malaysia, Sulaiman Salikan berkata, pertandingan
tersebut berbentuk santai dan mereka yang tidak berpengalaman juga boleh menyertainya kerana banyak informasi disediakan.

Katanya, lebih 20 orang urusetia bagi sokongan teknikal disediakan yang mana kesemuanya adalah terlatih dan terdiri daripada pelajar-pelajar universiti.

“Untuk pertandingan ini, tiga orang diperlukan dalam satu kumpulan iaitu pemerhati, pengguna teropong dan pencatat. Mereka perlu merekod sebanyak mana burung yang dijumpai dan jenis-jenisnya kerana juara dikira berdasarkan jumlah spesis dan jenis.

“Putrajaya juga menampilkan kelainan tersendiri kerana burung-burung yang unik dapat dilihat di kawasan bandar berbanding negeri-negeri lain yang kebanyakan perlu memasuki hutan untuk melihat burung.

“Terdapat tiga kategori penganjuran iaitu murid sekolah, agensi kerajaan dan terbuka (aktivis, pakar dan pelajar universiti). Bagi kategori terbuka, yuran dikenakan sebanyak RM30.

“Bagi pelajar sekolah, acara bermula dari pukul 8 pagi sehingga 3 petang manakala bagi kategori agensi dan terbuka, pelepasan bermula pukul 3 petang (Sabtu) dan berakhir pada waktu yang sama keeseokannya,” jelasnya sambil menambah sepanjang tempoh itu, pelbagai aktiviti disediakan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas