Berita

Isu konflik keluarga dalam Rain Town sempena Tahun Baharu Cina

- Diterbit 4 Februari 2024 11:40 AM MYT

KONFLIK atau perselisihan faham dalam keluarga merupakan isu yang sentiasa menjadi bualan dalam masyarakat.

Ia boleh terjadi antara anak dengan ibu bapa dan situasi ini agak sukar dielakkan kerana lumrah manusia tidak lari daripada melakukan kesalahan.

Situasi tegang mungkin berlarutan apabila kedua-dua pihak tetap ego dan tidak mahu menyerah kalah.

Sempena Rahun Baru Cina ini, kisah konflik keluarga dalam filem Rain Town bakal menemui penonton pada 8 Februari ini.

Menurut pengarahnya Tunku Mona Riza Tunku Khalid, idea untuk menghasilkan Rain Town bermula apabila dia dimaklumkan oleh seorang jurugambar pada tahun 2016 mengenai ‘Rain Betting’ atau bertaruh dengan meneka waktu hujan yang pernah berlaku suatu masa dahulu di Taiping, Perak

“Ketika itu saya sangat tertarik dengan kisah ‘Rain Betting’ kerana ia satu cerita yang unik, namun tidak bermaksud saya mahu hasilkan sebuah cerita tentang pertaruhan.

“Sebaliknya, saya wujudkan satu karakter bernama Choo yang suka bertaruh serta seorang bapa yang suka mengaturkan kehidupan anak-anak yang sudah meningkat dewasa sehingga menimbulkan konflik dalam keluarga mereka,” ujarnya yang pernah mencipta nama menerusi filem Redha yang bertemakan tentang autisme pada tahun 2016.

Filem Rain Town diterajui dua pelakon hebat tanah air iaitu Chew Kin Wah dan Susan Lankester serta barisan pelakon-pelakon lain seperti Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan.

Menurut Tunku Mona Riza, tajuk Rain Town dipilih memandangkan lokasi penggambaran dilakukan di Taiping yang diketahui sebagai kawasan menerima taburan hujan paling banyak di Malaysia.

Dalam pada itu, Tunku Mona Riza menyatakan dia berminat untuk menghasilkan sebuah filem berbahasa Kantonis kerana mahukan satu cabaran baharu buat dirinya.

“Sebagai seorang pengarah saya perlu melakukan sesuatu yang berbeza untuk diri sendiri dan saya ini seorang yang sentiasa seronok mendengar bahasa-bahasa berbeza.

“Sebelum ini, saya pernah mengarahkan iklan dalam bahasa berbeza (selain Bahasa Melayu) seperti Mandarin, Kemboja dan Vietnam.

“Malah, Super Telemovie pertama saya berjudul Uri ada menggunakan bahasa Iban, manakala Super Telemovie kedua saya iaitu Parit Jawa juga banyak menggunakan bahasa Jawa. Kini saya berpeluang pula menghasilkan sebuah filem berbahasa Kantonis,” ujarnya.

Bercerita mengenai cabaran pula, beliau yang pernah dinobatkan selaku Pengarah Harapan Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-29 berkata, sepanjang pembikinan Rain Town semuanya berjalan lancar kerana memiliki sebuah pasukan produksi yang mantap.

“Pada saya, cabaran yang dihadapi bukanlah sekadar dari sudut pembikinan sahaja, tetapi penerimaan penonton terhadap naskhah ini.

“Biarpun ia filem berbahasa Kantonis, cabaran sebenar adalah untuk menarik penonton bukan sahaja dari kaum Cina, malah kaum-kaum lain juga menonton filem ini di pawagam nanti.

“Selain itu, secara peribadi saya juga meletakkan harapan agar Rain Town dapat dijadikan inspirasi kepada pengarah-pengarah lain cuba menghasilkan sebuah naskhah yang berbeza dari sudut bahasa dan budaya mereka,” ujarnya.

Filem Rain Town akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 8 Februari 2024 sempena sambutan Tahun Baharu Cina. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas