Berita

Kerajaan Perpaduan bincang peruntukan buat pembangkang 17 April

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 13 April 2024 12:55 PM MYT

TUNTUTAN peruntukan oleh wakil rakyat pembangkang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada 17 April ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata hal ini susulan pertemuan beliau dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Parlimen pada 19 Mac lepas.

“Dalam perjumpaan itu, pihak pembangkang mengatakan mereka mahu peruntukan dan apa saja syarat (untuk beri peruntukan) terserah kepada kerajaan (untuk ditetapkan).

“Saya maklum pada mereka perkara ini akan dibawa ke peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk kita kemukakan apa yang dihasratkan oleh mereka,” katanya yang ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di sini hari ini.

Selain Hamzah, pertemuan bersama Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu turut disertai Ketua Whip Pembangkang Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Pada 24 Mac lepas, Fadillah dilaporkan berkata tidak wujud draf perjanjian berkaitan tuntutan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang dengan kerajaan MADANI seperti didakwa oleh pemimpin Perikatan Nasional (PN) susulan pertemuan itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas