Berita

Isu banjir kilat di KL diberi perhatian khusus – Nga Kor Ming

- Diterbit 28 Disember 2022 2:16 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti 25 kawasan ‘hot spot’ banjir kilat di ibu negara dalam usaha mencari jalan mengatasi masalah itu.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata beliau telah meminta DBKL memberi perhatian khusus dan keutamaan terhadap projek tebatan banjir dan kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Beliau berkata banjir kilat adalah satu masalah kronik yang bukan sahaja merunsingkan rakyat, malah juga menjejaskan imej Kuala Lumpur.

“Tindakan segera wajib diambil khususnya ketika musim tengkujuh yang sedang melanda negara kita,” katanya dalam satu kenyataan selepas menerima kunjungan hormat Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Nga berkata dalam pertemuan itu, beliau turut mengarahkan mesyuarat bulanan melibatkan Datuk Bandar dan Ahli-Ahli Parlimen diadakan bermula Januari bagi mencari jalan mengatasi masalah yang timbul demi kesejahteraan warga Kuala Lumpur.

Katanya, keperluan DBKL meningkatkan pencahayaan di Kuala Lumpur terutamanya di kawasan tumpuan pelancong seperti di Bukit Bintang Walk, Petaling Street dan KLCC juga dibincangkan dalam pertemuan itu.

“DBKL digalakkan mengadakan kerjasama bersama pihak swasta supaya tempat-tempat strategik ini setaraf dengan jalan-jalan ikon bandar raya di dunia seperti Oxford Street di London, Orchard Road di Singapura dan Ginza Street di Tokyo.

“Peranan DBKL selaku pihak berkuasa tempatan juga perlu diperkasa supaya Kuala Lumpur berupaya menjadi sebuah bandar raya yang bersih, indah, hijau dan mesra pengguna,” katanya.

Beliau berkata DBKL juga perlu mengambil kira pembinaan trek joging dan laluan basikal pada peringkat awal perancangan pembangunan untuk memupuk gaya hidup sihat dan cergas. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas