Berita

Irfan azam mahu sertai skuad negara

AKSI Muhammad Irfan ketika SUKMA XX MSN 2022.
- Diterbit 14 Mei 2023 2:00 AM MYT

SETIAP atlet pasti mensasarkan pentas tertinggi dalam mempamerkan aksi mereka, begitu juga dengan atlet muda Wilayah Persekutuan, Muhammad Irfan Daniel Md Sham, 19, yang menyimpan hasrat untuk diletakkan dalam skuad Malaysia bagi Sukan SEA akan datang.

Muhammad Irfan berkata pencapaiannya meraih tempat ketiga di SUKMA XX MSN 2022 membuatkan dirinya bersemangat untuk meneruskan langkah di dalam sukan petanque ini.

“Kejayaan di SUKMA XX tempoh hari memberi saya dorongan serta semangat untuk sentiasa melakukan terbaik agar dapat mewakili skuad Malaysia dalam temasya Sukan SEA yang akan diadakan pada 2025 nanti menerusi sukan petanque ini.

“Bagi saya, selagi saya aktif dalam sukan petanque ini, selagi itu peluang untuk pergi lebih jauh dalam sukan ini sentiasa ada, yang penting kena konsisten,” kongsinya kepada Wilayahku.

Selain itu, anak bongsu daripada dua orang adik-beradik ini berkata meskipun dirinya tidak menyertai mana-mana kejohanan dalam masa terdekat namun dia sentiasa melakukan latihan pada waktu lapang bagi memastikan momentum dan stamina berada pada tahap yang baik.

“Saya mula minat sukan ini ketika pertama kali menyertai Kejohanan Petanque Angkasa Peringkat Negeri di mana saya telah dinobatkan sebagai johan. Sejak dari itu, saya meletakkan sasaranuntuk menyertai skuad Wilayah Persekutuan (WiPers) bagi temasya SUKMA XX.

“Saya memilih sukan ini berbanding sukan yang lain kerana bagi saya komuniti petanque di Malaysia sangat mesra,” ujarnya yang mula menceburi sukan itu sejak usia 14 tahun.

Tambahnya dia turut mengidolakan pemain Selangor, Ayzek Hakimi Safingan kerana kejayaan yang diperolehi beliau di usia yang muda.

“Ayzek seorang yang rendah diri, mudah mesra serta tidak lokek berkongsi ilmu dengan pemain lain berkenaan sukan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelajar jurusan sains komputer di Kolej Matrikulasi Selangor ini berkata buat masa ini fokusnya adalah untuk menamatkan pelajaran terlebih dahulu.

“Kini saya sedang melanjutkan pelajaran dan akan tamat pada akhir bulan Mei. Buat masa ini tiada sebarang kejohanan yang disertai kerana mahu memberi fokus terhadap peperiksaan akhir di matrikulasi.

“Selepas tamat belajar, saya akan menyertai lebih banyak pertandingan yang dianjurkan bagi memantapkan lagi skill serta pengalaman saya dalam sukan ini,” ujarnya yang memenangi Best 16 dalam Double Open Petanque di Kuala Kangsar pada Februari lalu. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas