Berita

Kibar kain rentang di dasar laut sempena Hari Guru 16 Mei

PARA penyelam yang terlibat mengibarkan kain rentang sepanjang 10 meter di dasar laut.
- Diterbit 14 Mei 2023 1:00 AM MYT

BAGI meraikan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun, Co-opbank Pertama (CBP) mengibarkan kain rentang (banner) sepanjang 10 meter di dasar laut.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata kain rentang tersebut dikibarkan di Taman Laut Pulau Perhentian, Terengganu baru-baru ini.

“Ia merupakan salah satu usaha untuk CBP merakamkan penghargaan kepada warga pendidik di seluruh negara sempena sambutan Hari Guru 2023,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Tambahnya turut serta dalam misi mengibarkan kain rentang ini adalah penyelam berlesen dalam kalangan guru, murid, penyelam jemputan dan profesional yang turut serta termasuklah Ketua Pegawai Perbankan Runcit CBP, Rafis Makhtar.

“Program-program ini merupakan di bawah inisiatif CB-Proaktif yang memfokuskan kepada penjagaan alam sekitar dan juga CB-Pendidik yang memfokuskan kepada aktiviti berkaitan pendidikan.

“Program ini juga sebagai satu usaha CBP untuk meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar, lautan dan gaya hidup sihat melalui aktiviti rekreasi sukan selam skuba dan pemuliharaan laut serta meningkatkan kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam marin,” jelasnya.

Menariknya Khairil berkata ia turut mendapat pengiktirafan dari pihak Malaysia Book of Records (MBOR).

“Pada program tersebut seramai enam penyelam dari CBP bersama 27 penyelam daripada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan agensi-agensi yang lain telah berjaya membentangkan kain rentang gergasi berukuran 10 meter di dasar laut.

“Pengiktirafan tersebut telah disahkan oleh wakil MBOR, Lee Pooi Leng yang telahpun menyampaikan sijil pengesahan kepada wakil CBP, Rafis Makhtar,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis berkenaan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah.

Sebagai rekod, CBP mempunyai 30 buah cawangan termasuk outlet di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas