Berita

Insentif kewangan kepada pengilang gula langkah sementara – Fuziah

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 25 Mac 2024 2:35 PM MYT

PEMBERIAN insentif kewangan sebanyak RM42 juta kepada pengilang gula yang dilaksanakan ketika ini merupakan langkah sementara untuk memastikan kesinambungan pengeluaran bahan makanan asas itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata ia bukan satu Langkah jangka panjang atau berbentuk subsidi tetapi sebagai mekanisme sementara sebelum kerajaan mencapai keputusan terbaik dan tuntas berhubung harga serta pengeluaran gula.

Beliau berkata penyelesaian berkaitan perkara berkenaan mesti dicapai menerusi hasil libat urus dengan semua pihak industri termasuk peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kita paling khuatir bukan penggunaan domestik tetapi kegunaan industri kecil atau mikro seperti mereka yang jual kuih bahulu, air balang, apam balik, akok dan sebagainya. Ini yang banyak guna gula.

“Kalau domestik ini kita boleh kawal lagi, mereka menggunakan dua kilo setiap isi rumah. Jadi, sekiranya harga gula tidak dikawal maka ada kesan kepada inflasi, ada kesan kepada rantaian yang lain-lain seperti harga makanan, air dan sebagainya (akan meningkat),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang bertanya langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memastikan pemberian insentif kewangan RM42 juta kepada pengilang gula dapat dinikmati mereka.

Sementara itu, Fuziah berkata penawaran harga barangan terutama bahan mentah bergantung kepada faktor perubahan iklim, geopolitik seperti perang atau dasar negara pengeluar seperti India yang menyekat eksport bawang dan beras.

Bagi mekanisme pengawalan harga serta bekalan barangan, KPDN mengguna pakai Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk memantau harga yang dikenakan oleh peniaga serta Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi memastikan tiada aktiviti menyorok bekalan dan sebagainya, menurut beliau.

Selain itu katanya, KPDN juga melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang digunakan sebagai mekanisme kawalan harga sewaktu musim perayaan untuk memastikan penawaran (harga) tidak meningkat apabila permintaan meningkat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas