Berita

Industri media, ekonomi digital dan infrastruktur Internet antara fokus KKD 2024 – Fahmi

Kredit foto: Jabatan Penerangan
- Diterbit 5 Disember 2023 7:04 AM MYT

KEMAMPANAN industri media, pemerkasaan ekonomi digital dan penyelesaian isu infrastruktur Internet dan mutu perkhidmatan di kawasan-kawasan terpencil, akan menjadi antara fokus Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pada tahun hadapan.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata beliau melihat kemampanan industri media sebagai suatu perkara yang amat penting, bagi memastikan berita yang sahih diperoleh daripada sumber profesional, dengan KKD akan sentiasa memberikan sokongan berterusan untuk ekosistem media di negara ini.

Beliau berkata ketika ini misalnya, beberapa negara menyaksikan konfrontasi antara penyedia perkhidmatan media sosial dengan industri media, antaranya di Australia dan Kanada, dalam isu melibatkan penyedia perkhidmatan yang menjana pendapatan menerusi kandungan daripada organisasi media tempatan.

“Ini sangat penting, saya telah adakan beberapa perbincangan dengan pihak Google, TikTok, dan saya juga telah berbincang dengan beberapa wakil daripada industri media berhubung hal ini. Di negara lain berlaku konfrontasi antara penyedia perkhidmatan media sosial dan media di negara tersebut.

“Di Malaysia saya harap kita dapat usahakan secara aman damai, melibatkan semua pihak secara inklusif dan hasilnya saya harap akan dapat memberi manfaat kepada industri media,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.

Sebelum ini Fahmi berkata KKD sedang meneliti keperluan untuk melesenkan penyedia platform besar seperti Google, Meta, dan TikTok, yang menjana pendapatan menerusi kandungan daripada organisasi media tempatan.

Fahmi yang genap setahun berkhidmat di KKD hari ini berkata Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun hadapan, dalam usaha untuk menjaga kepentingan dan meneruskan agenda memperkasa media di negara ini.

“Saya lihat sementara menunggu rang undang-undang ini dibawa dan diluluskan, saya lihat ada kerjasama yang lebih erat dan terselaras, supaya boleh kita bersama dengan Institut Akhbar Malaysia (MPI) untuk meningkatkan profesionalisme dan etika dalam kalangan wartawan,” katanya.

Fahmi berkata pada masa sama, beliau juga telah meminta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) supaya meneliti isu membabitkan pemberita sambilan, bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka turut terjamin.

Sementara itu, beliau berkata KKD juga akan memfokuskan dalam usaha merancakkan penerimaan dan keterlibatan rakyat Malaysia dalam ekonomi digital, bagi membantu mengubah sosioekonomi dan menjana pendapatan yang lebih baik untuk rakyat.

“Kita sudah lihat dan saksikan bagaimana ekonomi digital mampu mengubah nasib bagi mereka yang berminat, terlibat dan boleh berjaya, usahawan terutamanya. Tapi untuk tahun kedua kita bukan hanya fokus untuk usahawan.

“Banyak bidang untuk dimanfaatkan sama ada  e-pembelajaran, e-kesihatan dengan Internet yang lebih baik dan laju, data yang selamat dan kedaan keselamatan siber terkawal banyak manfaat boleh dicapai,” katanya.

Hal berkaitan pembinaan infrastruktur Internet di beberapa kawasan terpencil pula katanya, turut akan diberi perhatian pada tahun hadapan, selain usaha meningkatkan mutu pengalaman pengguna dalam menggunakan Internet, bukannya sekadar mutu perkhidmatan.

Untuk itu Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), telah diminta melihat perkara itu dengan lebih serius, memandangkan beliau menerima banyak aduan berhubung mutu pengalaman menggunakan Internet yang kurang memuaskan daripada pengguna. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas