Artikel

Impak positif Annuar

ANNUAR bersama Che Nah pada 2 Jun lalu. ANNUAR bersama Che Nah pada 2 Jun lalu.
- Diterbit 12 Jun 2020 12:11 PM MYT

‘CAPACITY BUILDING’ DAN ‘ENTERPRISING’

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa terus memberi impak positif kepada warga kota. Setelah membawa pembaharuan besar dalam menangani masalah gelandangan di ibu negara, beliau membawa khabar gembira buat para peniaga kecil dan penjaja.

Belum reda kisah kejayaan awal tentang pengurusan gelandangan, Annuar mencuri hati rakyat dengan keprihatinannya kepada nasib seorang penjaja nasi dagang jalanan di Jalan Setia Bakti, Kuala Lumpur.

Hasil tinjauannya sendiri mendapati ibu tunggal yang gigih itu, Che Nah tidak mempunyai lesen berniaga walaupun telah lama memohon. Kerana terpanggil untuk memudahkan Che Nah mencari rezeki, Annuar sendiri kemudian membantu mendapatkan lesen berniaga daripada DBKL untuk wanita tersebut. Atas rasa kesyukuran yang mendalam, Che Nah bersujud ke bumi apabila lesen tersebut diserahkan secara mengejut oleh Annuar di bahu jalan tempat beliau berniaga.

Ramai tersentuh dengan kisah tersebut yang mempunyai kesan begitu kuat kepada masyarakat apatah lagi dikongsi secara meluas melalui media sosial.

Sebagai warga kota, Adi tabik pendekatan kemanusiaan yang Annuar terapkan. Bukan itu sahaja, beliau menjadi penggerak dalam memangkin ekonomi rakyat dan menggilap kebolehan rakyat itu sendiri.

Kepada gelandangan, beliau menerapkan pembangunan modal insan berteraskan konsep capacity building. Antaranya menawarkan latihan kemahiran dan peluang kerja bagi meningkatkan harga diri serta keyakinan golongan itu agar tidak kembali merempat di jalanan.

Kepada peniaga kecil dan penjaja pula, Annuar mencari ruang memak-simumkan potensi keusaha-wanan mereka dengan persekitaran terbaik. Ternyata Annuar seorang “enterprising”, yang mampu merangsang kepada gerakan keusahawanan rakyat. Dengan sendirinya ia membina kemampuan berdikari rakyat bagi menangani cabaran di bandar terutama dari segi kos kehidupan dan persaingan tinggi.

Kisah Che Nah tidak berhenti setakat itu sebaliknya ia memberi mesej kepada semua pihak tentang reformasi keusahawanan untuk rakyat akar umbi.

Selepas ini Annuar tidak mahu lagi melihat penguatkuasa DBKL mengejar, menghalau dan merampas barangan perniagaan penjaja tanpa lesen. Sebaliknya DBKL akan mengambil peranan untuk mempermudahkan urusan mencari rezeki rakyat.

Konsep ini sepatutnya telah lama diamalkan tetapi apapun belum terlewat untuk dilaksanakan. Adi percaya penekanan kepada modal insan dan “enterprising” dalam pentadbiran selain sentuhan kemanusiaan, akan menaikkan pencapaian rakyat dalam erti kata sebenar.

Annuar telah merintis jalan pembaharuan dan inilah masa untuk warga kota melangkah mara bersama beliau. Tahniah.

Berjayakah kita?

Nampaknya penjaja-penjaja warga asing tidak gentar dengan larangan berniaga di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur.

Mereka bagaikan mencabar pihak berkuasa apabila menyusup dan meneruskan aktiviti perniagaan di situ, baru-baru ini Adi lega dengan langkah tegas penguatkuasa DBKL menyerbu dan merampas barangan perniagaan mereka seperti diumumkan Datuk Bandar, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Memandangkan keperluan mendesak, Adi mencadangkan Kementerian Wilayah Persekutuan menubuhkan pasukan petugas khas melibatkan agensi-agensi lain antaranya polis termasuk Cawangan Khas, Jabatan Imigresen dan SPRM bagi menangani isu tersebut.

Ini meliputi operasi risikan dan pemantauan, operasi memberkas, mengesan gejala rasuah dan pendakwaan di mahkamah.

Pada Adi, ia bukan sekadar isu warga asing meniaga secara haram malah ia sudah menjadi isu keselamatan dan kedaulatan yang serius.

Rakyat di seluruh negara kini memerhatikan cara DBKL menangani isu tersebut. Apakah ia akan berjaya atau kembali menjadi kisah duka yang memalukan?

Terima kasih Abang Jo

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani bersara mulai 9 Jun lalu selepas menyandang jawatan itu selama 13 tahun. Persaraan beliau umpama hilangnya permata yang selama ini menyinari industri seni dan budaya negara terutama di Kuala Lumpur.

Juhari atau dikenali dengan panggilan Abang Jo adalah antara ikon Kuala Lumpur yang begitu besar sumbangannya. Beliau telah menukar imej Istana Budaya daripada gedung elit menjadi pusat seni dan kebudayaan nasional untuk rakyat Malaysia semua peringkat.

Sejak itu, aktiviti di Istana Budaya rancak dan mendapat sambutan sehingga menaikkan taraf Kuala Lumpur sebagai kota seni dan budaya. Istana Budaya di tangan Juhari, menjadikan Kuala Lumpur terserlah jiwanya di sebalik hutan batu dan gaya hidup metropolitan.

Atas kecemerlangan dan sumbangan beliau, Adi mewakili warga kota mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih. Kuala Lumpur adalah kota yang mengenang budi. Selamat bersara Abang Jo.

Tahniah dan waspada

Tiga keputusan tinjauan umum di United Kingdom menunjukkan sokongan kepada Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri, Boris Johnson merosot kerana kerajaan dilihat gagal menangani pandemik Covid-19.

Di Jepun, sokongan ke atas Kabinet Perdana Menteri, Shinzo Abe menurun kepada 38.1 peratus manakala 61.3 peratus kecewa dengan prestasi mereka pada Mei 2020.

Di Amerika Syarikat, populariti kerajaan pimpinan Presiden Donald Trump merudum kerana hal yang sama. Ia diburukkan dengan bantahan rakyat terhadap kekejaman polis ekoran kematian lelaki kulit hitam George Floyd pada 25 Mei lalu.

Sebenarnya banyak negara berdepan sentimen rasa tidak puas hati malah kemarahan rakyatnya terhadap kerajaan.

Syukur di Malaysia, keadaannya berbeza.

Melalui bancian umum baru-baru ini, rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19.

Malah di peringkat antarabangsa, kerajaan Malaysia diberikan pujian dan dijadikan antara contoh negara yang berjaya mengurus Covid-19 dengan berkesan.

Adi tumpang bangga dan ucapkan tahniah kepada para petugas barisan hadapan, kerajaan dan rakyat Malaysia.

Namun kita tidak boleh berpuas hati dan leka dengan pujian kerana ancaman pandemik itu masih besar dan sukar dijangka.

Waspadalah Malaysia.

 

(Penulis bebas dengan nama samaran ini adalah anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur)
Adi Tuah

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas