Artikel

Perubahan polisi dan insentif PKPP

PENJARAKAN sosial antara SOP yang perlu dititikberatkan semua pihak termasuk pengunjung.
- Diterbit 12 Jun 2020 12:30 PM MYT

BEKERJA dari rumah akan menjadi kebiasaan baru selagi vaksin kepada pandemik Covid-19 belum ditemui walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan Perdana Menteri 7 Jun lalu.

Pada awal pelaksanaan PKP, majikan yang tidak bersedia dengan pelan kelangsungan perniagaan dan polisi bekerja dari rumah tentunya sukar untuk menyesuaikan diri. Bekerja dari rumah perlu mengambil kira pelbagai faktor antaranya polisi syarikat, penerimaan polisi di peringkat pengurusan dan pekerja, sikap, kesesuaian pekerjaan yang boleh dilakukan di rumah, ketersediaan teknologi, pengetahuan dan kemahiran bagi membolehkan pekerja bekerja di bawah penyeliaan minimum dan kos.

Persediaan asas bagi pelaksanaan juga perlu diambil kira seperti skop kerja bagi pekerjaan yang boleh dilakukan di rumah, waktu bekerja, kaedah pemantauan pelaksanaan tugas dan pekerja, komunikasi dan teknologi maklumat kos serta polisi yang jelas dan menyeluruh serta dilengkapi dengan panduan dan peraturan yang perlu dipatuhi.

Persediaan dari segi infrastruktur, perkakasan dan perisian untuk bekerja dari rumah merupakan cabaran utama. Tidak semua pekerja mempunyai komputer peribadi di rumah, sambungan internet yang stabil serta ruang kerja yang kondusif.

Bagi majikan, langkah drastik terutamanya dari segi logistik dan polisi perlu diambil segera bagi memastikan aktiviti perniagaan dapat diteruskan dengan limitasi yang ada. Majikan perlu bersedia untuk menyediakan komputer riba bagi pekerja bagi memudahkan mereka melakukan tugasan yang diberi di manamana sahaja.

Pengumuman Perdana Menteri mengenai pelepasan cukai sehingga RM 5,000 di bawah PENJANA bagi pekerja yang dibekalkan dengan komputer untuk bekerja dari rumah merupakan satu inisiatif yang sangat baik bagi membantu perlaksaan polisi tersebut. Majikan juga perlu membangunkan polisi bekerja dari rumah sebagai panduan kepada pekerja dan bersedia untuk menguruskan konflik dan isu yang dihadapi oleh pekerja semasa bekerja dari rumah. Antara isu yang timbul semasa perlaksaan bekerja dari rumah adalah waktu kerja dan disiplin pekerja itu sendiri seperti anggapan bekerja dari rumah, tidak mempunyai waktu kerja yang tetap dan tidak mengikut waktu pejabat yang telah ditetapkan.

Ada kalanya, telefon dan emel yang terlalu lambat atau tidak dijawab, permintaan dan pertanyaan berkaitan kerja pada tengah malam, dan pekerja yang mencuri tulang, atau melakukan kerja lain dan kerja sampingan semasa waktu kerja. Bekerja dari rumah bukanlah bermaksud sepanjang masa. Waktu kerja masih lagi perlu dipatuhi dan waktu cuti serta aktiviti peribadi diluar waktu kerja hendaklah dihormati. Dalam masa yang sama, waktu kerja juga perlu dihormati dengan melakukan tugasan dan kerja yang diberikan dengan komited dan berdisiplin.

Bagi IKS, pada peringkat permulaan terdapat banyak perisian yang boleh digunakan secara percuma dan kos yang rendah untuk mula menerima pakai teknologi untuk melaksanakan polisi bekerja dari rumah. Perisian emel seperti Gmail sudah tentunya popular dikalangan pengguna. Bagi emel, IKS disarankan mengguna pakai perisian emel yang membolehkan IKS mempunyai emel yang menggunakan nama domain rasmi syarikat seperti yang ditawarkan oleh Microsoft 365 dan G Suite.

Ini adalah bagi mengelakkan daripada berlakunya penyamaran oleh pihak ketiga.

Perisian perkongsian fail dan dokumen seperti OneDrive, DropBox, Google Drive dan Box membolehkan fail dan dokumen dikongsi secara atas talian.

Aplikasi perbincangan dan kolaborasi yang boleh diguna pakai adalah seperti Microsoft Teams dan Slack berbanding aplikasi Whatsapp.

Ini adalah kerana keduadua perisian ini membenarkan pekerja berkolaborasi secara langsung terhadap dokumen dan fail, selain perbincangan yang mudah direkodkan dan diaudit serta sambungan kepada storan atas talian seperti OneDrive dan Google Drive.

Bagi mengadakan persidangan video untuk perbincangan, mesyuarat, pembentangan dan seminar, perisian seperti Zoom, WebEx dan Google Meet boleh digunakan.

Kesemua perisian ini menawarkan pelan percuma yang dilengkapi dengan ciriciri yang asas dan memadai untuk digunakan pada permulaan.

Pelaksanaan bekerja dari rumah dan penerimaan kebiasaan baru ini bukan lah sesuatu yang mudah dan boleh dilaksanakan dan diterima pakai dalam masa yang singkat. Pelaksanaan PKP telah membolehkan bekerja dari rumah sebagai kebiasaan baru yang perlu diterima oleh majikan dan pekerja. Kebiasaan baru ini memerlukan komitmen penuh dari majikan dan pekerja dan kesemua pemegang taruh perlu dengan seberapa pantas bersedia menyesuaikan diri bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

 

PENGARAH URUSAN BINTARA SOLUTIONS SDN BHD
TS Nor Faiz Muhammad Noor

* Pandangan ini tidak semestinya mewakili akhbar Wilayahku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas