Artikel

Persiapan atlet SUKMA Wilayah Persekutuan bersukan pasca PKPP

ATLET terjun, Erry Putra giat berlatih sempena SUKMA 2020 pada Mac tahun hadapan.
- Diterbit 12 Jun 2020 4:09 AM MYT

MENDEPANI pelbagai cabaran ketika negara dilanda serangan pandemik Covid-19 merupakan satu situasi yang tragis serta memberi kesan yang mendalam terhadap masyarakat seluruh dunia. Situasi yang melanda ini memberi kesan bukan sahaja kepada manusia tetapi juga pada ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Atlet juga terkesan dengan penularan wabak ini yang mana semua aktiviti latihan dan pertandingan tidak dibenarkan atas arahan kerajaan ketika Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) bermula 18 Mac lalu. Biarpun kini kita boleh menarik nafas lega apabila negara beralih pada  fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) namun penulis ingin membicarakan beberapa perkara yang dihadapi oleh agensi dan persatuan sukan sepanjang tempoh penularan wabak Covid-19.

Bagi atlet SUKMA Wilayah Persekutuan (WP) untuk kembali berada dalam prestasi semasa memerlukan mereka memulakan semula rutin latihan yang telah terhenti. Dari segi kesan fisiologi setelah tidak berlatih dalam masa yang panjang pastinya tahap kecergasan dan ketangkasan atlet akan merosot kerana tiada latihan beterusan dijalankan secara konsisten. Untuk kembali ke tahap asal mereka perlu memulakan semula latihan yang intensif agar kesan latihan dapat dipertingkatkan dalam tempoh 4 hingga 6 minggu dan disusuli dengan program latihan spesifik.

Sidang latihan menggunakan video yang digunakan oleh jurulatih WP ketika tempoh PKP merupakan satu solusi dalam tempoh ini. Ia satu pendekatan norma baru yang agak janggal penggunaanya kerana kebiasaan latihan kemahiran dan kecergasan dibuat secara terus dilapangan. Atlet dan jurulatih perlu saling bekerjasama dalam memastikan matlamat utama latihan dapat dicapai. Cuma latihan sebegini agar sukar untuk memastikan tahap sebenar kecergasan mereka kerana apa yang dipapar hanya dalam tempoh singkat sahaja. Ujian sebenar dilapangan sangat diperlukan bagi mendapat data tahap sebenar kecergasan atlet menggunakan protokol ujian yang spesifik.

Ruang terhad melakukan rutin latihan juga memberi tekanan kepada atlet dimana sukan sukan tertentu memerlukan ruang untuk melakukan rutin. Akibat ketiadaan ruang dan tempat yang sesuai ada atlet yang lansung tidak dapat melakukan sebarang latihan ini pastinya menyebabkan kemahiran sedia ada tidak dapat diulang rutinnya secara berterusan.

Pelan periodisasi latihan yang dilaksanakan setahun sebelum SUKMA juga perlu dirombak dan disusun semula. Perubahan tarikh penganjuran SUKMA juga telah berubah dari jadual asalnya Julai 2020 ke Mac 2021 akibat penularan wabak Covid-19. Pentadbir dan jurulatih kini perlu merancang semula program latihan mereka agar kesemua elemen elemen penting dalam pelan periodisasi latihan dapat dipenuhi. Perancangan perlu dibuat secara teliti agar atlet benar benar berada dipuncak prestasi ketika kejohanan bermula nanti. Peluang masih terbuka kepada semua negeri untuk merangka semula pelan periodisasi latihan.

ATLET MSWP tetap giat berlatih di rumah ketika fasa PKP.

Keyakinan ibu bapa membenarkan atlet mula berlatih dalam tempoh penularan wabak Covid-19 ini juga merupakan satu cabaran yang besar kepada pentadbir sukan. Ada yang berkemungkinan tidak akan membenarkan anak anak mereka untuk berlatih semula dalam masa terdekat walaupun kebenaran akan diberikan untuk atlet mula berlatih. Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Persatuan Sukan WP perlu memberikan keyakinan dengan mengadakan perbincangan dan penerangan berkaitan langkah langkah yang akan diambil berkaitan prosedur operasi standard (SOP) latihan bagi membantu meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk membenarkan atlet mula berlatih.

Kemudahan sukan yang masih belum dibuka sepenuhnya kepada atlet sukan negeri juga sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap perancangan latihan persiapan ke SUKMA. Semua latihan memerlukan penggunaan kemudahan latihan yang lengkap dan berfungsi dengan baik. Kemudahan sukan tertutup dan sukan akuatik sama sekali tidak dibenarkan untuk digunakan dalam tempoh penularan wabak Covid-19. MSWP dan Persatuan Sukan WP akan bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melihat keperluan keperluan khas yang diperlukan seperti kaedah perjalanan latihan, pengudaraan dewan dan sanitasi peralatan. Pekara ini perlu dikaji secara teliti bersama PBT agar kemudahan sukan tertutup dan akuatik dapat mula digunakan semula serta hal berkaitan memutuskan rantaian Covid-19 juga dapat dilaksanakan di kemudahan sukan terpilih.

Buat masa ini hanya sukan individu atau sukan tidak bersentuhan (non-contact sports) sahaja boleh memulakan latihan seperti kebenaran yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jesteru MSWP sedang merancang dan menentukan jenis jenis sukan yang boleh mula berlatih dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan. Satu cabaran besar yang perlu dilaksanakan secara teliti dan berhati-hati. Tahap pematuhan yang tinggi dikalangan atlet dan jurulatih WP sangat diperlukan agar tidak mewujudkan kluster baru jangkitan. Mereka dinasihatkan untuk sentiasa menjaga tahap kesihatan masing masing dan elak untuk berada dalam persekitaran sesak, sempit dan sembang dalam jarak dekat (3S) dan sentiasa membasuh tangan dengan sabun, memakai mask dan sentiasa peka dengan amaran dan maklumat kesihatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) (3W).

Ketiadaan kejohanan sukan peringkat kebangsaan sepanjang tahun 2020 ini juga bakal merencatkan perkembangan atlet kerana kejohanan kebangsaan sering dijadikan medan untuk pendedahan dan juga menilai prestasi atlet. Sukar untuk menilai kemampuan atlet yang telah dilatih dan menilai kemampuan pasukan saingan. MSWP dan Persatuan Sukan WP perlu lebih kreatif dalam hal ini berkemungkinan mewujudkan kejohanan dalaman dan perlawanan ujian antara negeri boleh difikirkan sebagai satu alternatif kepada ketiadaan pelbagai kejohanan sepanjang 2020.

Dari aspek psikologi juga merupakan satu pekara yang tidak perlu dipadang remeh, sudah ada kedengaran dikalangan atlet yang sudah merasa tertekan dan hilang motivasi untuk kembali berlatih akibat terlalu lama latihan terhenti. Persatuan Sukan dan jurulatih perlu terus mendekati atlet untuk menyelami masalah yang mereka hadapi. Program program khusus bagi meningkat tahap motivasi, keyakinan dan menetapkan semula sasaran mereka perlu disusun agar mereka kembali fokus kepada peranan mereka sebagai atlet WP.

MSWP dengan Kerjasama Persatuan Sukan WP akan mengeluarkan garis panduan dan menyediakan dokumen SOP latihan yang lengkap bagi kegunaan persatuan sukan dan jurulatih. Melalui penyediaan dokumen ini akan membantu jurulatih untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas bagaimana latihan perlu dilaksanakan. Simulasi pelaksanaan Latihan akan dijalankan terlebih dahulu bagi membantu mengenalpasti isu dan permasalahan yang wujud ketika latihan dilaksanakan kelak. Pembetulan dan penambahbaikan prosedur latihan boleh dibuat segera bagi memastikan semua garis panduan dan SOP latihan dipatuhi sepenuhnya.

Cabaran dan isu yang sedang melanda persiapan pasukan SUKMA WP perlu ditangani melalui perancangan yang rapi dan teliti. Pekara utama yang perlu diberi perhatian ialah mewujudkan kerjasama dan keyakinan kepada semua yang terlibat dalam ekosistem sukan WP agar perancangan dan tindakan yang diambil adalah selari dengan dengan saranan pihak KKM dan MKN. Kerjasama antara Agensi Sukan Negeri dan Majlis Sukan Negara perlu dijalin erat agar boleh menasihati negeri dalam pelaksanaan semula latihan dan menjadikan model program Road To Tokyo 2020 (RTT) Majlis Sukan Negara sebagai model contoh pelaksanaannya di negeri. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas