Berita

IKAT 2.0 : Hidupkan semula warisan tekstil Malaysia

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 3 Januari 2024 5:05 PM MYT

ORANG ramai berpeluang mendalami dunia warisan tekstil Malaysia yang mempesonakan menerusi hab pengalaman IKAT (Immersive Knowledge and Textile) 2.0 yang diadakan bertujuan memelihara dan menyemarakkan tradisi berkenaan.

Acara selama dua hari itu akan berlangsung di The Godown di sini dari 10.30 pagi hingga 10.30 malam bermula Sabtu ini.

Ketua Pegawai Jenama Kumpulan Limkokwing University of Creative Technology Datuk Tiffanee Marie Lim berkata acara berkenaan juga bermatlamat memberikan pendedahan kepada golongan muda mengenai kaedah seni dapat diperkasakan dan menyumbang kepada ekonomi baharu.

“Artis tradisional mungkin tidak pernah membayangkan jenis teknologi yang akan dibawa pada masa depan dan ia mestilah menjadi pengalaman membuka mata yang boleh digunakan untuk mencipta barisan produk berbeza,” katanya ketika menjadi tetampu program The Brief oleh Bernama TV bertajuk “IKAT 2.0” di sini hari ini.

Acara itu akan memaparkan pemasangan di persekitaran, galeri tekstil warisan, bengkel amali oleh tukang mahir, pertunjukan fesyen dan ceramah.

IKAT 2.0 dianjurkan oleh Limkokwing University of Creative Technology, Yayasan Hasanah dan Experiential Design Team. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas