Selebriti

Ifa Raziah bantu usahawan menjelang Aidilfitri

IFA Raziah bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza
- Diterbit 24 April 2022 6:47 AM MYT

MEMAHAMI situasi semasa ramai usahawan yang memerlukan ruang untuk bangkit semula, penyanyi Ifa Raziah buka peluang dengan menganjurkan StarVendors Mega Fest Raya 2022.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Ser Ser Ser dan Miss Diva, Ifa Raziah atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha,47, berharap karnival raya ini dapat merancakkan semula aktiviti ekonomi.

Menurutnya, selepas dua tahun tidak dapat dilaksanakan ekoran penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam negara, pastinya kemunculan semula StarVendors Mega Raya Fest 2022 memberikan nafas baharu buat usahawan tempatan.

SITI Nurhaliza antara selebriti yang menyokong dan menyertai StarVendors yang diasaskan oleh Ifa Raziah.

Ifa selaku Pengarah Urusan dan Pengasas StarVendors Event Sdn Bhd optimis terhadap penganjuran kali ini.

“Tujuan utama StarVendors ini adalah untuk memberi platform kepada usahawan berniaga.

“Tidak kira bangsa apa sekalipun yang mahu berniaga bersama kita bulan Ramadan ini selepas tidak mampu berbuat demikian susulan pandemik COVID-19.

“Malah, kita berhasrat untuk buat rekod baharu iaitu selama 75 jam jualan tanpa henti sekaligus akan tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR). Sebelum ini hanya 72 jam sahaja.

“Ia sudah bermula 9 pagi pada 22 April baru-baru ini dan akan tamat tepat jam 12 tengahari pada 25 April. Seramai 55 artis bergabung bersama para usahawan vendor lain,” katanya.

Ifa juga berbesar hati apabila penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sudi turun padang memeriahkan karnival raya StarVendors, semalam.

Sebelum ini, Ifa  turut melancarkan lagu dan muzik video Mega Raya yang dipersembahkannya bersama 20 selebriti tanah air.

Kali ini StarVendors Mega Raya Fest, Festival Gaya Raya telah dipersetujui dan disokong penuh oleh Kemeterian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan SME Corp Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas