Berita

Hukuman Najib dikurangkan 50 peratus, bakal bebas pada 23 Ogos 2028

- Diterbit 2 Februari 2024 4:17 PM MYT

HUKUMAN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dikurangkan sebanyak 50 peratus menerusi keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah bersidang pada 29 Januari lalu.

Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Mohd Najib telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan tersebut yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas YBhg. Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

“Oleh yang demikian, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

“Selain itu denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta,” tulis kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Mohd Najib akan ditambah setahun dimana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan pada 23 Mac tahun lalu telah menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Susulan itu, keputusan yang dibuat 23 Ogos tahun lalu oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengekalkan sabitan bersalah, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, adalah kekal.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati bekas Ahli Parlimen Pekan itu bersalah di atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

Mohd Nazlan sehubungan itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021 dan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas