Artikel

Hormati parkir OKU

- Diterbit 10 November 2023 12:35 AM MYT

PETAK parkir khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) bertujuan memudahkan golongan OKU meletak kenderaan. Kerana itu di pusat belah, hospital, kawasan Rawat dan Rehat (R&R) dan lain-lain, parkir untuk OKU disediakan.

Biasanya parkir khas ini terletak di tempat strategik untuk memudahkan OKU bergerak menuju ke destinasi. Misalnya di pusat beli belah ia berhampiran dengan lif. Tidak perlu untuk OKU berjalan jauh untuk sampai ke lif.

Namun yang mengecewakan kawan-kawan Kedai Kopi ialah parkir OKU ini sering diceroboh oleh orang yang tidak sepatutnya. Mereka tidak peduli meletakkan kenderaan di petak tersebut walau pun jelas ada tanda untuk OKU, juga amaran bagi yang sihat meletak kenderaan di situ.

Kenderaan OKU mempunyai pelekat. Jika tidak ada, pemilik kenderaan mesti memperagakan kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di atas papan pemuka atau dashboard kereta.

Namun daripada pemerhatian kawan-kawan Kedai Kopi, ada kenderaan yang diletak di parkir OKU tidak mempunyai kedua-duanya, pelekat atau kad. Jelas ia bukan milik OKU tetapi orang sihat yang mengambil jalan mudah meletak kenderaan.

Tidak pasti samaada pihak berkaitan ada melakukan rondaan dan pemeriksaan bagi memastikan hanya OKU sahaja dibenar meletak kenderaan di petak OKU. Jika menyediakan parkir khas maka wajarlah dipantau penggunaannya.

Jika perlu ambil tindakan drastik seperti mengunci tayar kenderaan. Kenakan denda untuk membuka kunci. Ini untuk memberi pengajaran agar lain kali jangan melakukan kesalahan sama. Hormatilah golongan OKU.

Di tempat lain pula, terdapat pemandu tidak bertanggung jawab yang menghalang kenderaan di parkir OKU. Yang pernah kawan-kawan Kedai Kopi lihat ialah parkir OKU di parkir bertingkat Pusat Rawatan Pakar Hospital Kuala Lumpur.

Petak parkir di pusat ini memang terhad. Kenderaan yang sampai apabila parkir penuh diletak berbaris di hadapan kereta yang siap diparkir. Namun gear mesti dalam kedudukan free atau neutral.

Tujuannya jika kereta yang diparkir hendak keluar, pemilik perlu menolak kereta yang menghalang untuk membolehkannya keluar. Biasanya lebih daripada satu kereta perlu ditolak bagi mendapat ruang cukup luas untuk keluar. Memang merimaskan kerja ini.

Namun sedihnya parkir OKU tidak terlepas. Akibatnya pemandu OKU perlu menolak kereta yang menghalang. Bayangkan sudahlah pemandu OKU, terpaksa pula menolak kenderaan. Tentu ini beban berat bagi mereka.

Kerana itu kawan-kawan Kedai Kopi berharap para pemandu amalkan sikap bertimbang rasa dan patuhi peraturan ruang parkir untuk OKU. Jangan diceroboh atau dihalang. Jadilah pemandu yang mempunyai kesedaran sivik yang tinggi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas