Artikel

Selamat hari Deepavali

- Diterbit 10 November 2023 12:40 AM MYT

LUSA, hari Ahad 12 November, rakyat Malaysia keturunan India sekali lagi seperti tahun-tahun sebelumnya menyambut ketibaan Deepavali, hari perayaan yang disambut meriah.

Dalam konteks masyarakat Malaysia berbilang kaum, perayaan ini bukan sahaja terhad kepada masyarakat India. Seluruh rakyat Malaysia ama-sama meraikan. Suasana ini samalah seperti perayaan lain seperti Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.

Bagi kawan-kawan Kedai Kopi, semua ini menyerlahkan semangat perpaduan dan toleransi yang tinggi di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Sesungguhnya aspek ini sangat penting dalam memupuk kerjasama membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat.

Setiap daripada kita tentu mempunyai rakan-rakan kaum India. Ketika musim perayaan inilah waktu untuk mengunjungi mereka sebagai berkongsi kegembiraan. Sudah tentu pelbagai juadah menanti untuk dijamah.

Kawan-kawan Kedai Kopi sendiri tidak melepaskan peluang berkunjung ke rumah rakan. Malah sebelum perayaan pun rakan-rakan sudah mengingatkan agar jangan lupa datang ke rumah.

Selain rakan, guru atau pensyarah yang pernah mendidik kita wajar diziarahi. Mereka telah menabur jasa bakti mencurah ilmu sehingga kita menjadi apa yang ada hari ini. Tentu guru da pensyarah ini berbesar hati jika anak didik ingat kepada mereka.

Oleh itu bersama-samalah menyambut Deepavali dalam suasana meriah dan persaudaraan. Sambil bergembira, eratkan hubungan serta tambah kenalan. Buktikan rakyat Malaysia sentiasa seiring jalan pada bila-bila dan di mana-mana. Selamat hari Deepavali! – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas