Berita

Hormati dan hargai Jalur Gemilang – Halimah

KOTA BHARU 31 AUGUST 2017. ( KBM514W ) Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada Rejimen 506 AW Kem Sungai Durian, Kuala Krai berarak membawa Jalur Gemilang pada Sambutan Hari Kebangsaan 2017 Peringkat Negeri Kelantan yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Padang Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kota Bharu. NSTP/SYAMSI SUHAIMI
- Diterbit 17 Ogos 2020 3:07 AM MYT

MENTERI Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique meminta rakyat Malaysia menghormati dan menghargai nilai Jalur Gemilang sebagai bendera kebangsaan negara ini.

Beliau berkata mencintai negara bukan hanya bermaksud memupuk semangat perpaduan antara satu sama lain atau menghormati kepelbagaian bangsa dan agama, tetapi juga menjaga Jalur Gemilang.

Halimah berkata demikian sebagai respons kepada gambar tular mengenai Jalur Gemilang yang digantung terbalik baru-baru ini.

“… ada pihak yang mengambil sikap lebih kurang, yang tidak kisah tentang keadaan bendera Jalur Gemilang, terbalik atau tidak, jalur terkurang atau terlebih, bendera baik atau koyak, asalkan bendera naik pada tiang.

“Kita sepatutnya menjadi warganegara Malaysia yang bertanggungjawab, yang tahu menghargai nilai bukan sehelai bendera (sahaja), tetapi menghargai nilai bendera Jalur Gemilang (sebagai) bendera negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dan RTM selepas penggambaran video muzik untuk kempen ‘Saya Anak Malaysia 2020’ di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Kempen berkenaan merupakan inisiatif kolaboratif yang dijalankan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia yang akan datang.

Halimah, yang turut terlibat dalam penggambaran itu, berkata video muzik tersebut akan menggambarkan bagaimana rakyat Malaysia meraikan kepelbagaian mereka sebagai ‘Anak Malaysia’, dengan rasa bangga terhadap tanah air mereka.

Pengarah kempen Dr Idzwan Yacob berkata video muzik itu akan menampilkan lagu ‘Saya Anak Malaysia 2020’, yang digubah semula dari versi asal – ‘Saya Anak Malaysia’, oleh DR Sam.

“Kita gubah semula lagu sebab kita tahu lagu ini kadang-kadang perlu diberi nafas baru untuk generasi baharu lebih menghargai dan menghayati.

“Jadi, orang lama dapat dengar lagu versi baru ini yang lebih segar, manakala generasi baharu pula dapat menghayati lagu ini dengan gaya dan corak yang lebih semasa,” katanya.

Penggambaran kempen itu mengambil masa dua hari untuk diselesaikan dengan penglibatan 250 orang, termasuk pelajar Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif UUM serta selebriti tempatan.

Video muzik itu dijangka dilancarkan di akaun Youtube Kementerian Perpaduan Negara sebelum 31 Ogos. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas