Berita

Hobi tanam sayur mudahkan ibu tunggal dapat bekalan sayur musim TEMCO

- Diterbit 13 Ogos 2020 3:48 AM MYT

AKTIVITI bercucuk tanam di halaman rumah sebagai hobi nyata memberi manfaat kepada seorang ibu tunggal yang tinggal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) Secara Pentadbiran di Kuala Sanglang di sini.

Aminah Ayob, 56, berkata beliau tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendapatkan bekalan sayur-sayuran sejak pelaksanaan TEMCO kerana sayur seperti bayam dan sawi ada ditanam di laman rumahnya.

“Bagi saya cukup sekadar menjamah sayur dan telur sahaja daripada keluar membeli barangan kerana bimbang terdedah dengan COVID-19…tempoh (TEMCO) juga tidaklah begitu lama jika nak dibandingkan dengan PKP awal Mac lalu,” katanya.

Aminah yang juga suri rumah itu berkata beliau turut berkongsi hasil tanamannya itu dengan jiran terdekat yang memerlukan.

Dalam perkembangan lain, ramai penduduk, terutama yang tinggal di Kuala Sanglang masih keliru mengenai sempadan Kuala Sanglang Perlis yang berada dalam kawasan TEMCO dan Kuala Sanglang Kedah.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Karim, 48, berkata berikutan kekeliruan itu ada kalangan penduduk sukar untuk keluar membeli keperluan harian termasuk makanan kerana bimbang dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

“TEMCO di Kuala Sanglang, Perlis sahaja, tapi kami di sini (Kuala Sanglang Kedah) turut terjejas kerana pada masa sama kami tidak boleh memasuki kawasan TEMCO untuk ke kedai runcit berhampiran,” katanya.

Menurutnya untuk keluar ke kedai lain pula, ia agak jauh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Wari Kiew meminta mereka yang berada di luar kawasan TEMCO dan di bawah negeri Kedah itu untuk menghubungi pihak yang berkaitan bagi menyelesaikan masalah dihadapi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas