Berita

Henti buat tuduhan terhadap KSN

- Diterbit 19 Januari 2024 5:05 PM MYT

SEMUA pihak diminta supaya tidak membuat sebarang tuduhan dan mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas berhubung dakwaan fitnah terhadap Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menurut Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia (PPTD), Datuk Seri Isham Ishak, serangan seperti itu akan mendatangkan implikasi negatif kepada institusi KSN dan perkhidmatan awam serta menjejaskan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

“PPTD mengambil serius dakwaan fitnah terhadap KSN dan berpandangan adalah wajar sekiranya semua pihak tidak membuat sebarang tuduhan yang tidak berasas serta mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

“Bagi membendung perkara ini daripada terus berlaku, kami berharap supaya pihak berkuasa mengambil tindakan untuk menyiasat perkara ini agar tohmahan dan fitnah terhadap penjawat awam terutamanya jawatan utama perkhidmatan awam tidak berlaku lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihaknya akan terus komited untuk menyokong Kerajaan MADANI yang telah diberikan kepercayaan dalam mentadbir negara dan kesinambungan sistem pentadbiran negara terus diperkukuh dan dimantapkan.

“Saya juga ingin menyeru agar semua ahli dan pegawai PTD untuk terus fokus dan mengekalkan profesionalisme dalam menjalankan tanggungjawab mentadbir negara serta menerapkan nilai integriti dalam perkhidmatan,” katanya.

Sebelum ini terdapat dakwaan Mohd Zuki disiasat SPRM melibatkan pelbagai isu ditularkan seorang pengguna media sosial di platform X menerusi hantaran yang antara lain menyebut perkara itu telah disahkan oleh sumber dalaman Pejabat KSN.

Bagaimanapun, SPRM menafikan dakwaan di media sosial bahawa siasatan telah dijalankan ke atas Mohd Zuki. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas