Berita

Polis Wangsa Maju berjaya rampas lebih 27 kg ganja bernilai RM85,430

- Diterbit 19 Januari 2024 5:03 PM MYT

POLIS berjaya melumpuhkan kumpulan pengedaran dadah sekitar Wangsa Maju selepas menyerbu tiga buah rumah di kawasan Jalan Kampung Pandan dan sebuah kondominium di Kajang, Selangor.

Ketua Polis Wangsa Maju, Supritendan Ashari Abu Samah berkata serbuan yang dijalankan pada 17 Januari lalu dibuat sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

“Dalam serbuan tersebut, pihak Polis telah berjaya merampas lebih kurang 25.054 kilogram (Kg) dadah jenis ganja dan lebih kurang 48.09 gram dadah jenis heroin dan menangkap empat lelaki dalam berumur diantara 23-47 tahun ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi kenyataan itu, Ashari berkata dalam serbuan berasingan, pada 18 Januari pihaknya telah berjaya menangkap seorang lelaki tempatan dengan rampasan 2.039 kg ganja di kawasan Setapak.

“Hasil saringan awal air kencing dapati seoorang positif dadah jenis ganja dan tiga orang negatif.

“Pihak Polis juga merampas beberapa aset sindiket untuk tujuan sitaan iaitu sebuah kereta jenis Honda City; sebuah kereta kereta Jenis Toyota Vios; enam utas gelang tangan; empat utas rantai leher; lapan bentuk cincin; 15 bentuk anting-anting; dua bentuk loket; dan wang tunai berjumlah RM 200,” katanya.

Ashari berkata nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah kira-kira RM 195,630 yang meliputi rampasan dadah berjumlah RM 85,430 dan nilai rampasan sitaan berjumlah RM 110,200.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung seramai 27,141 orang penagih dadah dalam satu masa,” katanya.

Menurut Ashari, sindiket ini dikesan bergerak aktif sejak enam bulan lalu di sekitar Lembah Klang dan pihak Bahagian Siasatan Narkotik IPD Wangsa Maju masih menjalankan siasatan untuk
mendapatkan punca bekalan dadah diperolehi.

“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 24 Januari 2024 di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B ADB 1952.” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap orang awam menyalurkan maklumat berhubung aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang agar tindakan dapat diambil keatas perkara ini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas