Berita

Laman sesawang AIMS, mantapkan kerjasama UPSI dan alumni

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI ACP/ KS Prof. Datuk DR. Md Amin Md Taff di Kampus Sultan Azlan Shah dan dipancarkan secara langsung melalui talian WEBEX dan Facebook Pusat Alumni
- Diterbit 14 Februari 2021 10:20 PM MYT

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Alumni Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEP&A), yelah melancarkan laman sesawang Alumni Information Management System (AIMS), baru-baru ini.

AIMS merupakan sebuah pangkalan data yang menghubungkan antara Pusat Alumni JHEP&A dan bekas pelajar institusi pengajian tersebut.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI ACP/ KS, Prof. Datuk DR. Md Amin Md Taff di Kampus Sultan Azlan Shah dan dipancarkan secara langsung melalui talian WEBEX dan Facebook Pusat Alumni.

Menurut Md Amin, inisiatif mewujudkan AIMS oleh bekas pelajar yang dikenali sebagai alumni Anak kandung Suluh Budiman (AKSB) dilihat bertepatan dengan keperluan perhubungan sekaligus memantapkan lagi jaringan kerjasama berterusan antara alumni dengan pihak UPSI.

“Saya menyeru seluruh alumni AKSB untuk mendaftar dan mengemaskini maklumat terkini dalam laman sesawang AIMS yang dibangunkan oleh pihak universiti sebagai salah satu tanggungjawab alumni terhadap alma mater,” katanya dalam satu sidang video ketika majlis pelancaran berlangsung pada 9 Februari lalu.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI ACP/ KS Prof. Datuk DR. Md Amin Md Taff di Kampus Sultan Azlan Shah dan dipancarkan secara langsung melalui talian WEBEX dan Facebook Pusat Alumni

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni JHEP&A, Prof. Madya Dr. Mohd Izwan Shahril berkata, AIMS merupakan sistem pangkalan data mengandungi maklumat alumni daripada era Sultan Idris Teaching College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI) dan era terkini Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Sistem ini dibangunkan oleh Unit Komunikasi & Teknologi Maklumat dan sekumpulan penyelidik yang merupakan alumni AKSB yang diselia urus oleh Timbalan Pengarah Pusat Alumni, Rasyidi Johan.

“Selain menjadi pusat pengumpulan data, AIMS adalah salah satu platform alumni untuk mendapatkan maklumat perkembangan terkini universiti selain memberi kemudahan kepada pihak universiti menyediakan data sebagai saluran untuk penanda aras seperti penarafan QS World Universiti Ranking,” katanya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI ACP/ KS Prof. Datuk DR. Md Amin Md Taff .

AIMS adalah antara platform alumni untuk mendapatkan maklumat perkembangan terkini universiti selain memberi kemudahan kepada pihak universiti menyediakan data sebagai saluran untuk penanda aras seperti QS World Universiti Ranking.

Tambah Izwan, terdapat ciri-ciri tambahan seperti curricular vitae (CV) yang dijana secara automatik apabila alumni mendaftar dan mengemaskini di laman sesawang AIMS sekaligus membantu pengembangan kerjaya mereka.

Alumni AKSB boleh mendaftar dan mengemaskini maklumat di laman sesawang www.aims.upsi.edu.my mulai hari ini. Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh hubungi pihak Pusat Alumni menerusi talian 015 4879 7052 atau emel [email protected].

Setiap pendaftaran baharu adalah percuma. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas