Berita

Hail Amir, Latif Romly terima gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan 2022

di Istana Negara
- Diterbit 8 Februari 2022 10:30 AM MYT

PENYANYI veteran popular Hail Amir dan atlet lompat jauh paralimpik negara, Abdul Latif Romly menerima anugerah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Anugerah berkenaan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2022 yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, hari ini.

Hail Amir yang menjadi inspirasi ramai dalam industri seni ini popular dengan lagu Wajah Kesayangan Hamba, Hujan, Tanda Kasih dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, beliau turut menyampaikan mesej positif menerusi lakonannya dalam filem seperti Sesejuk Air Mata Ibu, Menanti Hari Esok, Dendang Perantau dan sebagainya.

HAIL Amir menerima anugerah Pangkima Mahkota Wilayah sempena Hari Wilayah Persekutuan 2022 yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, hari ini.

Manakala Abdul Latif pula pernah memenangi pingat emas dalam Sukan Paralimpik Musim Panas 2016 di Rio de Janeiro dan Sukan Paralimpik Musim Panas 2020 di Tokyo.

Kejayaannya ini membuka mata banyak pihak seterusnya membuktikan kekurangan diri bukanlah penghalang untuk mencapai apa yang diimpikan..

Selain itu, bekas atlet terjun kebangsaan, Datuk Leong Mun Yee dan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Kuala Lumpur, Datuk Subardron Abd Aziz, juga merupakan antara selebriti yang menerima anugerah PMW.

Turut berangkat pada istiada itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Timbalan Menteri Wilayah Perseutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Seri Rosida Jaafar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas