Berita

Guru SMK Labuan bantu murid dapatkan pinjaman Peranti dan Bantuan Tambah Nilai

POSTER pelancaran Inisiatif Proper Top SMK Labuan.
- Diterbit 29 Julai 2021 7:07 AM MYT

KEPERLUAN untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) merupakan cabaran besar kepada sebahagian murid yang menghadapi masalah ketiadaan peranti dan data.

Walaupun jumlahnya tidak ramai tetapi ini akan menjejaskan pembelajaran murid-murid tersebut sepanjang tempoh PdPR dilaksanakan.

Atas keprihatinan guru, staf dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) maka terhasillah inisiatif Program Pinjaman Peranti dan Bantuan Tambah Nilai SMK Labuan (Proper Top) SMK Labuan sebagai intervensi membantu murid-murid yang memerlukan.

Pengetua SMK Labuan, Ismail Abdullah berkata program tersebut bermatlamat semua murid SMK Labuan yang bermasalah peranti dan data mempunyai akses untuk mengikuti PdPR.

Katanya, objektif program itu ialah membantu murid yang sangat memerlukan peranti untuk mengikuti PdPR.

“Program Pinjaman Peranti dan Bantuan Top Up SMK Labuan (Proper Top SMKL) membantu murid yang sangat memerlukan data untuk mengikuti PdPR,”katanya.

PdPR Fasa 4 bermula pada 26 Julai hingga 30 Ogos 2021.

Jelas Ismail, pemilihan murid berdasarkan penelitian guru kelas, Unit Kebajikan Murid dan Unit Hal Ehwal Murid (HEM) dengan status sangat memerlukan iaitu murid tidak dapat mengikuti PdPR jika tiada bantuan peranti.

Tambah beliau, peranti diberi sebagai pinjaman untuk tempoh yang sesuai sehingga keluarga murid dapat membeli peranti sendiri.

Beliau berkata peranti akan dikembalikan kepada Unit Kebajikan Murid setelah selesai peminjaman.

“Top up data diberi hanya kepada murid yang sangat memerlukan untuk membolehkan mereka mengikuti PdPR.

“Nilai top up berdasarkan keperluan untuk mengikuti PdPR sahaja.

“Bantuan top up hanya akan diteruskan kepada murid yang mengikuti PdPR secara konsisten dan rajin,” jelas Ismail lagi.

Murid yang terpilih akan menerima Samsung Galaxy A02 (3GB RAM + 32GB Memory) atau jenama spesifikasi yang setaraf.

Kata Ismail, pihaknya mendapatkan peranti dan data tersebut menerusi sumbangan ikhlas guru-guru dan staf SMK Labuan serta sumbangan PIBG SMK Labuan.

Katanya, program tersebut dikendalikan oleh Unit Kebajikan Murid SMK Labuan.

“Sumbangan ‘top up’ berdasarkan senarai yang diberi oleh guru kelas tetapi mesti dipastikan murid tersebut betul-betul memerlukan dan tiada unsur tidak jujur atau mengambil kesempatan.

“Bilangan murid yang menerima itu mungkin akan bertambah bergantung kepada maklumat yang diberi oleh guru kelas,” katanya.

Sementara itu, majlis ringkas penyerahan pertama peranti telah dilaksanakan pada 25 Julai 2021 kepada dua orang murid Tingkatan 2 yang disempurnakan oleh Ismail sendiri di pekarangan SMK Labuan manakala bantuan ‘top up’ telah diberi kepada 46 orang murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6.

Turut hadir pada majlis itu ialah Penolong Kanan HEM, Jamaliah Razali, Cikgu Rafidah Md Pee dan Cikgu Nazurah Dollah.

Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada semua guru dan staf serta PIBG SMK Labuan atas sumbangan yang diberi untuk inisiatif ‘Proper Top’ ini.

“Semoga inisiatif Proper Top ini akan mencapai matlamatnya.

“Ini selaras dengan slogan SMK Labuan iaitu “Setiap Murid Bernilai” dan slogan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan “Guru Sayang Muridnya,” katanya.

Pada ketika ini, SMK Labuan mempunyai 126 orang guru, 12 staf dan 1,776 murid dari Tingkatan 1 hingga 6. — WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas