Berita

GHEF: Platform bincang cabaran pascapandemik dalam sektor pendidikan tinggi

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 16 November 2023 7:05 AM MYT

HAMPIR 1,000 delegasi tempatan dan antarabangsa termasuk sekretariat dan sukarelawan daripada pelbagai pihak berkepentingan menghadiri Forum Pendidikan Tinggi Global 2023 (GHEF2023) di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA di sini, yang berlangsung tiga hari bermula semalam.

Mengangkat tema ‘Pemulihan Kesaksamaan – Pengajian Tinggi dalam Era Pascapandemik’, forum yang kali kelapan dianjurkan itu membincangkan dinamik dan cabaran dihadapi ekosistem pendidikan tinggi dalam era pascapandemik khususnya berhubung usaha pemulihan kesaksamaan.

Simposium Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertemakan ‘Pasca Pandemik: Kemasukan Orang Kurang Upaya dan Pendidikan Berkualiti yang Saksama dalam Ekosistem TVET’ akan turut diadakan esok.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapan pembukaannya berkata tema tersebut dipilih susulan pandemik global itu secara ketara telah memberi impak kepada semua bahagian masyarakat termasuk sektor pendidikan tinggi.

Beliau berkata banyak kajian dan laporan mendedahkan bahawa pandemik itu telah mengakibatkan penutupan sejumlah besar institusi pendidikan tinggi di pelbagai negara di seluruh dunia, sekali gus menjejaskan pengajian jutaan mahasiswa sekitar 2020-2021.

“Walaupun sistem pendidikan tinggi berusaha sebaik mungkin untuk menyesuaikan diri dengan cabaran yang tidak pernah berlaku ini dalam pelbagai peringkat, pandemik tersebut sememangnya telah mendedahkan kelemahan sistem semasa kepada faktor luaran.

“Ketika kita beransur-ansur beralih keluar daripada krisis, penting untuk menangani cabaran dan peluang baharu dihadapi sektor pendidikan tinggi dalam era pascapandemik. Ini bermakna, kita bukan sahaja perlu mengenal pasti penyelesaian dan saluran ke arah kemajuan, lebih penting lagi, kita mesti meneroka idea-idea segar dan pendekatan baharu,” katanya.

Mohamed Khaled berkata suatu sistem pendidikan yang dapat menahan cabaran luar jangkaan serta menjamin hasil yang saksama untuk pelajar dalam masa sukar, perlu diwujudkan.

“Walaupun banyak institusi pengajian tinggi di seluruh dunia berjaya menghadapi cabaran ketika pandemik, mereka kini perlu mempersiapkan diri untuk landskap pendidikan tinggi yang sangat tidak menentu dan tidak dapat diramalkan,” katanya dan menambah persediaan itu mestilah merangkumi antara lain menjadikan kesaksamaan sebagai agenda utama.

Beliau berkata kerjasama lebih strategik dan kukuh dalam kalangan institusi, pihak berkuasa, pendidik dan pihak berkepentingan haruslah diwujudkan agar sektor pendidikan tinggi lebih bersedia untuk berdepan krisis pada masa akan datang.

Mohamed Khaled berkata beliau telah berkongsi pandangan dalam banyak majlis dan forum sebelum ini bahawa kerjasama dan libat urus strategik antara kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pemain industri perlu diperhebat.

“Kementerian Pengajian Tinggi percaya menerusi perbincangan pelbagai perspektif di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa, kita dapat membangunkan pendekatan baharu dalam pengajaran dan pembelajaran yang akan menyumbang kepada sistem pendidikan yang lebih berkesan dan saksama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman berkata objektif GHEF 2023 adalah untuk Malaysia memahami dengan lebih mendalam kesan pascapandemik COVID-19 terhadap pemulihan kesaksamaan dalam pendidikan negara selain mempelajari pengalaman negara lain dalam menguruskan sektor pendidikan tinggi.

Beliau berkata antara topik dibincangkan adalah berkaitan jurang digital, pengajaran dan pembelajaran, inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran, kebolehpasaran, kemampanan kewangan, impak kewangan dan perkongsian amalan terbaik dalam dunia pendidikan tinggi.

Azlinda berkata dapatan daripada forum itu akan diterbitkan dalam bentuk jurnal dan dijadikan asas untuk KPT menggubal atau menambah baik dasar pendidikan tinggi negara.

“Kita melihat bahawa kita memerlukan lebih banyak maklum balas daripada pihak-pihak di luar sana bagi kita menambah baik (dasar) sebab kita tidak boleh duduk dan berdiam sahaja, jadi pastinya, kebanyakan dapatan kita akan guna pakai, jika tidak ia satu pembaziran.

“Kita perlu menambah baik kaedah kita, cara penyampaian kita, untuk mengenal pasti apakah kekangan kita dan bagaimana solusinya.. forum ini membantu kita mencari solusi tersebut dan di peringkat KPT, kita nak banyak input kerana kita mahu menambah baik, menyusun semula struktur, bergerak ke hadapan dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya,

Beliau berkata KPT juga mahu mempelajari pengalaman negara lain berhubung konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Seorang daripada penceramah, Prof Dr Hannele Niemi dari Universiti Helsinki, Finland berkata selain adaptasi pendigitalan dalam ekosistem pendidikan tinggi pascapandemik, kerajaan dan pihak berkuasa haruslah menekankan pada kepentingan hubungan manusia dalam kalangan pelajar.

“Kita perlu ingat bahawa walaupun kita mempunyai peralatan yang baik (dalam pengajaran dan pembelajaran) namun kita masih memerlukan hubungan manusia dan interaksi sosial dalam pembelajaran.

“Saya berpendapat bahawa pengajaran paling penting kita pelajari daripada negara berteknologi tinggi ialah memberi sokongan dan peluang kepada pelajar untuk menjalin rangkaian hubungan kerana itu juga merupakan bahagian penting dalam pendidikan tinggi,” katanya.

Bagi Prof Dr Miki Sugimura dari Jabatan Pendidikan Universiti Sophia, Jepun, COVID-19 telah membolehkan penuntut dan pensyarah menyesuaikan diri dengan pembelajaran jarak jauh serta memberi peluang kepada mereka untuk belajar dalam persekitaran baharu.

“Pada peringkat awal, apabila COVID-19 bermula pada 2020, kami berdepan banyak isu, contohnya di universiti kami, kami bergelut menangani masalah IT (teknologi maklumat), pelajar juga terkesan, tetapi sekarang, akhirnya pelajar, penyelidik dan guru dapat menyesuaikan diri dengan situasi luar biasa ini.

“Pendidikan secara maya lebih popular, di universiti saya misalnya, pelajar dari Jepun kini berhubung dengan pelajar Afrika untuk berbincang tentang isu alam sekitar. Pejabat cawangan universiti kami di Bangkok turut mengatur program baharu membabitkan universiti ASEAN termasuk universiti Malaysia. Justeru, lebih mudah untuk kita berkumpul dan bekerjasama,” katanya.

Sugimura berkata menerusi forum ini, beliau berharap dapat belajar daripada Malaysia dari segi pengantarabangsaan.

“Kali pertama saya datang ke Malaysia ialah 40 tahun lepas dan sejak itu saya sentiasa melihat perkembangan pendidikan negara anda dan terutamanya pendidikan tinggi. Terdapat kemajuan besar sejak 20 tahun lampau tentang bagaimana anda sentiasa mencari ruang untuk penambahbaikan.

“Universiti Jepun sentiasa mencemburui universiti di Malaysia kerana kami masih bergelut untuk memperbanyakkan program berasaskan Bahasa Inggeris namun anda telah melaksanakannya dengan baik,” katanya.

GHEF 2023 merupakan platform kepada pelbagai pihak berkepentingan untuk membincangkan isu-isu dihadapi ekosistem pendidikan tinggi, menggalakkan wacana mengenai pendidikan tinggi, menangani cabaran dan membangunkan penyelesaian serta dasar.

Ia menyediakan ruang untuk membincangkan konsep, pengalaman dan amalan serta pertukaran pengetahuan termasuk hasil penyelidikan meliputi pelbagai topik pendidikan tinggi dari pelbagai negara, konteks dan perspektif.

Para delegasi terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, pelajar prasiswazah dan pascasiswazah, pegawai kerajaan, pembuat dasar, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil industri dari institusi tempatan dan antarabangsa, antaranya dari Australia, Chile, China, Finland, Indonesia, Jepun, Pakistan, Palestin, Filipina, Arab Saudi, Thailand, Emiriah Arab Bersatu, Sub-Sahara Afrika, Oman, Uzbekistan dan Korea Selatan, selain Malaysia. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas