Berita

Generasi kedua, penyewa diberi izin beli rumah- Annuar

- Diterbit 26 Mac 2021 10:32 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) telah memutuskan untuk memberikan keizinan kepada generasi kedua pemilik Perumahan Awam (PA) Seri Labuan untuk memiliki rumah yang sama dengan ibu bapa mereka di Residensi Razakmas 1.

Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata perkara itu telah diputuskan setelah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak.

“Generasi kedua ini diberi keizinan untuk mengemukakan permohonan untuk membeli rumah pada harga RM198 ribu seunit,”

“Selain itu, mereka yang sedang menyewa turut dipertimbangkan membeli unit yang berbaki pada harga yang sama dan tidak dapat memiliki unit tersebut secara percuma seperti pemilik-pemilik PA Seri Labuan,” katanya dalam sidang akbar selepas Majlis Penyerahan Kunci Residensi Razakmas 2 hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Hadir sama, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaafar, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Dalam pada itu, Annuar berkata, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan kemudahan termasuk lori bagi membantu pemilik-pemilik tersebut berpindah ke rumah baharu.

“Untuk proses perpindahan, mereka boleh guna lori-lori DBKL untuk mengangkat barang dan kemudahan-kemudahan yang ada supaya membantu supaya kos perpindahan itu menjadi rendah.

“Pada masa sama, kita juga akan beri bantuan kos perpindahan di antara RM3,000 hingga RM7,000 untuk satu rumah,” katanya.– AZLAN – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas