Berita

Kerajaan komited bina rumah mampu milik di bandar

- Diterbit 26 Mac 2021 10:36 AM MYT

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berikrar akan terus komited menyediakan perumahan mampu milik yang selesa kepada golongan B40 dan miskin bandar termasuklah di kawasan pesat membangun meskipun berdepan cabaran peningkatan nilai hartanah.

Beliau berkata kerajaan turut berdepan cabaran untuk menjaga kebajikan golongan miskin bandar, terutama warga Kuala Lumpur di kawasan perumahan kos rendah awam dan swasta, serta penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Dalam menyahut cabaran yang saya sebutkan ini, baru-baru ini kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah melancarkan Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur yang bertujuan membangunkan semula kawasan usang dan tidak ekonomik seperti Perumahan Awam Sri Labuan,” katanya pada majlis penyerahan kunci kepada pemilik Residensi Razakmas2 di sini, hari ini.

Tambahnya, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memberikan kawasan yang terpilih akan berwajah baharu, vibrant dan mampu berdaya saing dan mampu meningkatkan nilai hartanah setempat.

Muhyiddin berkata, sejak setahun lalu, banyak bantuan diberikan kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk membelanjakan RM40 juta untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan rumah kos rendah dan sederhana rendah.

“Ia untuk membaiki bumbung, tangga, mengecat bangunan serta pembaikan utiliti membabitkan 63 projek di bawah DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) selain 13 projek di Labuan dan ia dilaksanakan untuk memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat terpelihara,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, niat yang ikhlas, tumpuan dan usaha gigih jentera kerajaan dalam memastikan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat sentiasa diberikan keutamaan menjadi bukti projek Residensi Razakmas 2 yang pernah tertangguh selama 10 tahun dapat disiapkan sekaligus menamatkan penantian panjang penduduk PA Seri Labuan selama ini. – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas