Berita

Flying Squad DBKL hero warga kota

ASET dan tenaga mahir DBKL digerakkan bagi membantu operasi menyelamat serta pembersihan di kawasan terjejas banjir. ASET dan tenaga mahir DBKL digerakkan bagi membantu operasi menyelamat
- Diterbit 7 Januari 2022 5:00 AM MYT
PETUGAS DBKL turun membantu operasi pembersihan pasca banjir di Taman Sri Muda, baru-baru ini.

MEMPUNYAI kuasa magis, berbadan sasa serta berkebolehan antara imej yang sering dipaparkan di televisyen mengenai perwatakan seorang adiwira.

Namun ia berbeza buat petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang hanya berbekal semangat serta tekad dalam memastikan keselesaan warga kota terus dijaga.

Sentiasa bersedia untuk berkhidmat, pasukan beruniform merah, biru dan putih, Flying Squad DBKL berpusat di dua lokasi iaitu Cheras dan Sentul.

Menurut hantaran DBKL di laman rasmi Facebooknya, pasukan yang ditubuhkan adalah untuk memberi perkhidmatan pembersihan serta persiapan bagi penganjuran acara rasmi.

“Acara-acara rasmi tersebut melibatkan DBKL, kementerian, jabatan serta agensi kerajaan dan terdapat lagi satu skuad yang hanya menumpukan tugasan logistik.

“Selain itu, mereka diberi tanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja sanitasi COVID-19 sejak pandemik melanda negara serta turut terlibat dalam operasi pembersihan pasca banjir kilat di ibu kota,” katanya.

Rentetan bencana banjir yang berlaku sejak 18 Disember 2021, skuad ini ditugaskan untuk membantu di Hulu Langat, Shah Alam dan Banting, Selangor.

“Flying Squad Cheras dan Sentul serta Skuad Logistik pernah terlibat secara langsung semasa Operasi Pembersihan Pasca Banjir di Kuala Krai dan Kuantan, Pahang pada tahun 2014 lalu,” tulisnya di Facebook yang turut menambah kesemua mereka berada di bawah seliaan Bahagian Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar.

Ucapan terima kasih turut dirakamkan buat Flying Squad DBKL yang sentiasa bersemangat jitu dalam membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira sempadan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas