Berita

Skuad Penyelamat DBKL terima pujian warga Kampung Baru Hicom

Tangkap layar status dan komen daripada Facebook penduduk MPKK Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 Shah Alam serta mangsa banjir yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat Skuad Penyelamat DBKL sewaktu kejadian tersebut pada 18 Disember lalu.
- Diterbit 7 Januari 2022 5:00 AM MYT

KESAN bencana di kawasan banjir masih lagi kelihatan meskipun sudah tiga minggu berlalu kerana ia bukan sahaja menjejaskan kehidupan, malah turut merosakkan harta benda.

Kenderaan rosak yang tersadai akibat ditenggelami banjir genang juga belum diubah kedudukan.

Di sebalik kejadian itu, pujian diberikan kepada Skuad Penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana tangkas membantu mangsa banjir meskipun ia di luar kawasan jajahan.

Dalam hantaran di laman Facebook Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 Shah Alam, Selangor, Skuad Penyelamat DBKL dinyatakan sebagai antara organisasi yang paling awal tiba untuk operasi menyelamat.

“Pentadbiran ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua ahli-ahli penyelamat DBKL yang bertungkus lumus membantu mengeluarkan mangsa-mangsa banjir yang terdiri daripada warga emas, bayi dan ibu yang masih dalam pantang serta orang kurang upaya (OKU).

“Usaha dan bakti anda disaksikan seluruh penduduk kampung. Kami mendoakan semoga seluruh anggota penyelamat DBKL diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat. Anda adalah hero kami!!!” katanya baru-baru ini.

Selain itu, melalui salah seorang mangsa yang terlibat turut mengakui Skuad Penyelamat DBKL merupakan pasukan pertama yang tiba untuk membantu memindahkan penduduk terlibat ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang berhampiran.

Pengguna akaun bernama Eddie B Shaharudin berkata, dia menyaksikan sendiri kehebatan dan ketangkasan seluruh anggota Skuad Penyelamat DBKL yang bertugas ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

“Walaupun DBKL tiada kena mengena dengan Selangor, usaha anda semua sangat-sangat ikhlas dan pada pendapat saya, wajar jika mereka ini diberikan pujian dan anugerah.

“Mohon pihak atasan DBKL menganugerahkan bonus tambahan untuk mereka yang terlibat dalam kerja-kerja menyelamat mangsa banjir di Kampung Baru Hicom,” katanya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas