Berita

Fahaman Ibu Yati : Jawatankuasa muzakarah sembah maklum ke Majlis Raja-Raja

- Diterbit 24 Februari 2021 5:26 AM MYT

LAPORAN siasatan seorang wanita yang dikenali sebagai Fahaman Ibu Yati akan disembah maklum ke Majlis Raja-Raja.

Dalam hantarannya di laman Facebook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang bermesyuarat kali ke-118 pada 17 Februari 2021 lalu telah mendengar laporan berkenaan fahaman Ibu Yati yang dibentangkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Hasil resolusi Muzakarah termasuk keputusan perbincangan fahaman Ibu Yati telah disembah maklum kepada Majlis Raja Raja untuk perhatian selanjutnya,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada JAIS selaku pihak berkuasa agama negeri atas kerjasama yang utuh dalam memelihara akidah umat Islam.

“Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama pihak berkuasa agama negeri sentiasa berganding bahu dalam memastikan isu-isu membabitkan penyelewengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dapat diatasi dengan sebaiknya,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video di laman sosial mengenai seorang wanita didakwa memperkenalkan ajaran Islam Melayu yang dilihat bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan terhadap pengguna akaun Facebook, Ibu Yati yang dikaitkan dengan fahaman Islam Melayu. – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas