Berita

PTPTN lancar Ganjaran Kesetiaan SSPN-i

WAN SAIFUL dan Ahmad Dasuki menunjukkan replika Ganjaran Kesetiaan 1 peratus yang dilancarkan hari ini. WAN SAIFUL dan Ahmad Dasuki menunjukkan replika Ganjaran Kesetiaan 1 peratus yang dilancarkan hari ini.
- Diterbit 24 Februari 2021 6:16 AM MYT

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini, melancarkan Ganjaran Kesetiaan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) pada kadar 1 peratus sebagai tanda penghargaan kepada pendeposit yang membuat simpanan dalam jangka masa panjang.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Ganjaran Kesetiaan itu akan dinikmati pendeposit SSPN-i yang membuat simpanan terkumpul dalam tempoh promosi dengan jumlah minimum sebanyak RM500.

“Tempoh promosi bermula 24 Februari sehingga 30 April 2021 dan ia layak disertai pendeposit yang membuka akaun SSPN-i sebelum tahun 2018.

“Kepada pendeposit SSPN-i yang layak, rebutlah peluang keemasan ini,” katanya selepas melancarkan program tersebut secara maya pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, Ganjaran Kesetiaan SSPN-i yang diberikan sangat berbaloi sebagai pulangan tambahan selain dividen tahunan.

Malah, katanya, tahun lalu mencatatkan sejarah yang sangat membanggakan apabila PTPTN berjaya memecah rekod baharu deposit dengan mencapai jumlah simpanan tertinggi iaitu sebanyak RM1.99 bilion.

Ujarnya, ekoran itu, PTPTN terus konsisten memberikan dividen yang amat kompetitif berbanding institusi kewangan lain.

“Pemberian dividen SSPN sebanyak empat peratus diharapkan dapat menjadikan SSPN sebagai pilihan utama untuk simpanan pendidikan anak-anak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, bagi tahun ini, PTPTN menyasarkan RM1.8 bilion kutipan deposit SSPN.

Penetapan sasaran ini berdasarkan pencapaian positif SSPN sepanjang tiga tahun berturut-turut sejak 2018 dan dipacu dengan pelbagai langkah proaktif dari aspek pengoperasian, pelaburan, pemasaran dan komunikasi strategik yang telah dirancang dan akan dilaksanakan sepanjang tahun 2021. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas