Berita

4 FILEM YANG PASTI BUAT ANDA GELI HATI

EMPAT filem komedi terbaik di Netflix. Gambar: Tokopedia Gambar: Tokopedia
- Diterbit 25 Julai 2021 2:00 AM MYT

KATA orang, ketawa adalah ubat yang murah namun berkesan. Kata-kata ini bukanlah mesej kosong kerana ia dapat dibuktikan secara saintifik. Jika seseorang individu ketawa, otak kita akan melepaskan bahan yang disebut endorphin dan dapat meningkatkan kemampuan kita untuk mengabaikan kesakitan. Salah satu cara mudah untuk mendorong orang ketawa adalah dengan menonton filem komedi dan mencari filem bergenre komedi tidaklah sukar kerana banyak filem turut mengetengahkan unsur kelakar di dalam jalan cerita mereka bagi menambah seri dan tidak bosan. Jika anda berminat untuk ketawa sambil menonton televisyen pada hujung minggu ini, berikut Wilayahku kongsikan antara cadangan filem komedi terbaik di Netflix. Anda dijamin akan ketawa terbahak-bahak sambil menontonnya.

#1 Pasal Kau

Pengarah: Adrian Teh
Pelakon: Hairul Azreen, Janna Nick

JUGA dikenali sebagai All Because of You merupakan filem romantik komedi yang mengisahkan Jane (Janna Nick) cuba untuk memikat hati crushnya, iaitu Aiman (Hairul Azreen). Namun setiap usaha Jane seperti bertepuk sebelah tangan apabila Aiman tidak pernah menganggapnya lebih daripada seorang kawan kerana karakternya seperti seorang lelaki. Suatu hari, tiga orang wanita cantik telah mendaftar masuk ke hotel mereka bekerja dan Aiman telah jatuh hati pada salah seorang wanita tersebut, iaitu Sofia (Sophia Barakbah). Walaupun hati Aiman hanya kepada Sofia, Jane tetap berusaha untuk memikat Aiman, sehinggalah berlaku satu kejadian di hotel mereka, di mana Aiman akhirnya tahu hatinya milik siapa. Dikatakan kisah cinta dan konsep kisah di hotel ini datang dari kisah benar Hairul sendiri meskipun hanya 30 peratus yang sama. Lawak yang digunakan jugak merujuk kepada dua buah filem Paskal dan juga Wira. Bagi sesiapa yang belum menonton dua filem tersebut mungkin tidak dapat menangkap punchline-punchline yang diberikan. Jadi tonton kedua-dua filem tersebut terlebih dahulu bagi membantu anda memahami lawak yang disampaikan dalam filem Pasal Kau ini.

#2 Murder Mystery

Pengarah: Kyle Newacheck
Pelakon: Adam Sandler, Jennifer Aniston

DIBINTANGI oleh dua bintang terkenal, Adam Sandler dan Jennifer Aniston mengisahkan sepasang suami isteri Nick Spitz (Adam Sandler) dan Audrey Spitz (Jennifer Aniston) yang telah berkahwin selama 15 tahun tanpa mempunyai anak. Nick merupakan seorang pegawai polis manakala Audrey adalah pendandan rambut yang suka membaca novel. Untuk menghilangkan rasa bosan, Nick membawa isterinya untuk bercuti ke Eropah bagi meraikan ulang tahun perkahwinan ke-15. Dalam perjalanan, Audrey bertemu dengan Charles Cavendish (Luke Evans) di dalam pesawat. Charles seorang orang kaya yang kemudian mengajak mereka untuk mengambil bahagian dalam pesta keluarga di sebuah kapal layar (kapal mewah). Namun, sebuah kejadian tidak diingini berlaku apabila Paman Charles, Malcolm Quince terbunuh. Lebih memburukkan keadaan apabila Nick dan Audrey dituduh sebagai pembunuh yang terlibat dalam pembunuhan tersebut. Pelbagai aksi menarik yang mencuit hati dalam perjalanan mereka berdua mencari pembunuh sebenar. Lakonan komedi Adam masih belum hilang bisanya apabila menjadikan babak-babak yang baik dengan dialog yang melucukan. Malah, lakonan Adam Sandler dan Jennifer Aniston yang turut disokong dengan lakonan Luke Evans berjaya menjadikan Murder Mystery lebih dari sekadar filem gred B. Memang keserasian mereka terserlah sekali gus menjadikan filem ni enak untuk dilayan.

#3 The Con-Heartist

Pengarah: Mez Tharatorn
Pelakon: Baifern Pimchanok, Nadech Kugimiya, Bank Thiti

THE CON-HEARTIST menceritakan kisah seorang pegawai bank bernama Ina. Ina mempunyai seorang teman lelaki yang merupakan pelajar kolej bernama Petch, namun tidak mengetahui bahawa teman lelakinya seorang playboy. Ina berhutang ratusan ribu baht untuk menolong Petch yang mendakwa dia memerlukan wang untuk kuliah dan perniagaan. Setelah meminjamkan wang kepada Petch, Ina dibiarkan begitu sahaja sehingga dia harus hidup dalam hutang dan demi melunaskan hutangnya, dia terpaksa menjimatkan perbelanjaannya. Kisah tersebut dikongsi oleh Ina melalui vlognya dengan harapan akan ada yang sudi membantu. Suatu hari, Ina hampir menjadi sasaran penipuan oleh Tower (Nadech Kugimiya), seorang penipu. Namun, kerana pekerjaannya sebagai pegawai bank, Ina berjaya mengetahui identiti sebenar Tower dan merancang untuk membongkarnya. Tower kemudian berjanji akan membantu Ina untuk melunaskan sebahagian hutangnya dengan syarat rakaman perbualan mereka di telefon dihapuskan. Pertemuan antara Ina dan Tower menjadikan mereka berdua terlibat dalam pengembaraan yang menarik untuk membalas dendam terhadap Petch. Namun, Petch yang juga penipu tidak mudah untuk ditipu kerana dia sentiasa berhati-hati dalam setiap tindak tanduknya. Apakah jalan terakhir yang akan digunakan mereka untuk menipu Petch?

#4 The Intern 

Pengarah: Nancy Meyers
Pelakon: Anne Hathaway, Robert De Niro

DITERBITKAN pada tahun 2015, sebuah filem yang sesuai untuk ditonton bersama anak-anak pada waktu lapang. Filem drama komedi ringan ini mengisahkan seorang lelaki, Ben Whittaker yang telah bersara daripada kerjayanya iaitu seorang ahli perniagaan. Dia hanya merasa sunyi apabila memasuki usia persaraan. Menariknya, Ben telah mula mencari pekerjaan di serata tempat dan akhirnya berjaya dipanggil temu duga di sebuah syarikat yang mengelolakan perniagaan fesyen di atas talian. Ben telah diterima bekerja sebagai pelatih senior. Ben ditugaskan untuk bertugas di bawah seliaan Jules Ostin yang merupakan seorang isteri dan ibu muda kepada seorang anak. Jules sibuk mengukuhkan kedudukan perniagaannya membuatkan jadualnya sangat padat dan kehilangan masa dalam menguruskan keluarganya. Suatu hari, Jason iaitu rakan dan sahabat perniagaannya memberikan idea buat Jules mengambil seorang pelatih senior. Namun Jules enggan. Tanpa mempedulikan Jules, Jason menerima Ben sebagai pelatih senior di syarikat tersebut bagi membantu memberi nasihat dan berkongsi pengalamannya kepada Jules yang sangat memerlukan bimbingan orang lama dalam membina dan mengukuhkan lagi empayarnya. Akibat kedinginan yang ditunjukkan oleh Jules terhadap Ben, Jules telah bertindak membuat satu keputusan yang salah dan ianya memberikan satu penyesalan. Ben pula dalam masa yang sama memerhati dan bertindak sebagai pelatih senior yang lebih kepada bersifat seorang ayah menyelamatkan kehidupan anaknya. Berjayakah Ben menyelamatkan dan menasihati Jules dalam kehidupannya sebagai seorang isteri, ibu muda dan ketua dalam perniagaan? Antara yang menarik dalam filem ini juga adalah ia memaparkan gabungan budaya kerja era ibu bapa dengan anak muda masa kini dan tentang bagaimana dua generasi ini berfikir secara kritis dan kreatif.

– WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas