Berita

Ubah mentaliti kunci melawan kemiskinan

MOHD Ferdaus menjadikan perniagaan burger sebagai alternatif untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
- Diterbit 25 Julai 2021 2:00 AM MYT

KEMISKINAN bandar merupakan satu perkara yang tidak asing dengan masyarakat bandar terutama di Kuala Lumpur.

Impak daripada penularan wabak pandemik COVID-19 dalam negara menyaksikan kerajaan persekutuan terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020 yang kini sudah memasuki PKP3.0 dan belum mempunyai tanda-tanda akan reda.

Situasi ini telah menyebabkan banyak sektor ekonomi terpaksa di’rehat’kan dan pada masa sama kerajaan turut menggiatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebagai satu usaha di dalam Program Pemulihan Negara (PPN) bagi mencapai sasaran 80 peratus imunisasi berkelompok dan seterusnya dapat menggerakkan semula keseluruhan sektor ekonomi bagi membangunkan semula negara.

Namun begitu, impak yang diterima rakyat khususnya warga kota amat berat ekoran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merupakan nadi utama negara terpaksa direhatkan dan menyebabkan ramai dari dalam kalangan pekerja terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, malah banyak syarikat telah ditutup sehingga meningkatkan lagi jumlah pengangguran di Kuala Lumpur sekaligus meningkatkan jumlah miskin bandar di ibu negara.

Melawan kemiskinan terutama di bandaraya Kuala Lumpur bukanlah satu perkara yang mudah.

Namun, melalui pelbagai inisiatif dan kreativiti daripada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) di bawah kepimpinan menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa menyaksikan banyak produk pembangunan keusahawanan seperti Wilayah Bebas Berniaga (WBB) dan Program Usahawan Anak Muda Kota serta pemberian Gerai Mary sebagai kemudahan dan juga galakan kepada warga kota untuk berikhtiar melalui perniagaan kecil-kecilan mampu melandaikan lekuk kemiskinan bandar yang semakin melebar.

Melalui program WBB yang diperkenalkan sejak Oktober 2020 yang lalu, ia telah memanfaatkan hampir 5,000 peniaga di seluruh Kuala Lumpur dengan seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Program ini turut dilaksanakan di Putrajaya dan Labuan.

Menurut pemilik gerai Ewanz burger, Hazuan Alif  Ahmad Jabri, 25, yang berasal dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu 5 Jalan Ipoh berkata, tekad untuk melawan kemiskinan menjadi fokus utamanya apabila kehilangan pekerjaan di sebuah syarikat pengangkutan di ibu negara Disember tahun lalu.

“Jujurnya, sejak dari awal PKP 1.0, saya hanya menerima gaji separuh sahaja kerana syarikat tidak boleh melakukan perjalanan.

“Namun, keadaan kewangan syarikat semakin tenat dan majikan terpaksa melepaskan kami kerana sudah tidak mampu untuk membayar gaji,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.

HAZUAN Alif  Ahmad Jabri

Justeru itu, beliau yang juga bekas pemandu bas berkata, detik hitam mulai dirasakan ekoran banyak bil-bil yang perlu dijelaskan pada setiap bulan.

“Duduk di ibu kota ini memerlukan perbelanjaan yang besar dan apabila hanya mendapat gaji separuh bermula April 2020, ia sangat menyukarkan kerana banyak perkara yang perlu dijelaskan.

“Saya bernasib baik kerana menerima moratorium disamping duduk bersama keluarga,” katanya.

Bercerita lanjut, Hazuan Alif berkata, keadaan syarikat mulai merosot kerana negara jiran, Singapura dan Thailand telah menutup pintu sempadan masing-masing sehingga syarikat sudah tidak mampu untuk meneruskan perniagaan.

“Majikan kemudian terpaksa memberikan cuti tanpa gaji bermula Januari tahun ini dan saya tidak mahu duduk sahaja di rumah, malah terus berikhtiar mencari rezeki dengan menjadi pemandu p-hailing,”

“Melalui p-hailing, saya menerima pendapatan yang tidak seberapa kerana perlu bersaing dengan pengusaha sedia ada, namun saya sempat membuat tabungan untuk mengumpulkan modal bagi memulakan perniagaan kecil-kecilan,” katanya.

Beliau berkata, idea untuk memulakan perniagaan burger dibuat melalui dorongan bekas majikannya kerana khuatir dengan tindakan penguatkuasaan DBKL yang tidak membenarkan perniagaan tanpa lesen dijalankan.

“Apabila Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur memberi jaminan tidak akan mengambil tindakan undang-undang kepada peniaga, maka saya memberanikan diri untuk memulakan perniagaan,” katanya.

“Saya turut mengeluarkan wang simpanan ketika menjadi pemandu p-hailing sebanyak RM2,000 sebagai modal untuk membeli kelengkapan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, setelah diberhentikan kerja, beliau tidak hanya berpeluk tubuh mengenangkan nasib kerana tiada sesiapa yang akan membantunya untuk mengubah diri sendiri.

“Sudah tentu saya berasa sedih, namun kita perlu berikhtiar sebaik mungkin kerana sekadar mengenang nasib tidak akan mengubah keadaan.

“Dan saya beruntung kerana cepat mengambil peluang untuk berniaga melalui program WBB dan tidak perlu membayar lesen.

“Walaupun sukar untuk mendapatkan keuntungan yang banyak, namun saya yakin hasil yang diperolehi ini lebih baik untuk meneruskan hidup daripada terpaksa meminta-minta,” katanya.

Ujar Hazuan, pada peringkat awal berniaga pada Januari lalu, beliau hampir berputus asa kerana hasil jualan yang diterimanya hanya mampu untuk membeli barang-barang perniagaan sahaja.

“Pada awal berniaga, gerai ini mungkin baru lagi dan ramai yang tidak menyedari, malah saya juga pernah merasa kesal kerana seolah-olah membuang masa kerana hanya terjual kurang dari 10 biji sahaja.

“Namun, semakin hari keadaan semakin baik dan kini saya mampu menjual purata 30 biji setiap hari,” katanya.

Hazuan berkata, sebagai individu yang menerima kesan daripada pandemik ini, perkara utama yang diperlukan adalah semangat untuk berusaha dan mengeluarkan diri dari kepompong kemiskinan.

“Saya ditakdirkan menjadi miskin dengan sekelip mata,dan apabila hampir seluruh dunia turut menerima kesan yang sama, saya perlu tabah untuk menghadapi perkara tersebut.

“Situasi semasa ini membuatkan saya sedar bahawa kita harus berusaha dan berikhtiar untuk mencari peluang-peluang yang ada dan saya beruntung kerana memperolehi peluang ini dan hanya perlu berusaha keras agar dapat mengubah nasib dengan segera demi kelangsungan hidup,” katanya.

Bagi Mohd Ferdaus Tamat, 28,  yang menetap di PPR Taman Wahyu, hidupnya mulai berubah apabila beliau diarahkan untuk berpindah ke tempat kerja yang baharu setelah majikannya terpaksa menutup pejabat mereka di ibu kota.

“Sebelum berniaga, saya bekerja di bahagian Pusat Panggilan (Call Centre) untuk sebuah syarikat swasta dan apabila PKP dilaksanakan, saya diarahkan berpindah ke tempat kerja yang baharu di Kuala Selangor dan gaji pula perlu dipotong,” katanya.

Menyedari bahawa keadaan itu tidak menguntungkannya, beliau mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan menjual burger demi kelangsungan hidup.

“Saya bersyukur kerana sememangnya berminat dengan perniagaan kerana dari kecil sudah biasa mengikut bapa yang berniaga di pasar malam.

“Oleh kerana keadaan PKP pada waktu itu, saya membuat keputusan untuk berniaga kecil-kecilan,” katanya.

Mohd Ferdaus berkata, walaupun pada peringkat permulaan agak mencabar kerana ia baru beroperasi beberapa bulan sahaja.

“Bagi saya, perniagaan ini adalah proses dan kita perlu melaluinya dengan sabar.

“Lagipun ketika ini, kita berada didalam PKP dan sukar untuk menetapkan sasaran jualan yang tinggi kerana ia akan menyebabkan kita patah semangat,” katanya yang membuka gerai setiap hari dari pukul 2.30 petang sehingga 10 malam.

Ujarnya, kunci untuk melawan kemiskinan yang disebabkan keadaan hari ini adalah dengan mengubah mentaliti dan sentiasa berusaha.

“Walaupun saya hanya mampu membuat jualan hanya 30 biji burger setiap hari, ia masih boleh mempunyai pendapatan berbanding hanya mengeluh dan meminta-minta,” katanya. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas