Berita

EMPAT FILEM MELAYU TAK LAPUK DITELAN ZAMAN

|||||
- Diterbit 13 Jun 2021 3:00 AM MYT

PENGGEMAR filem di Malaysia pastinya sebulat suara bersetuju bahawa filem P. Ramlee merupakan filem evergreen yang masih mahu ditonton sehingga kini. Mesej di setiap ceritanya menggambarkan dan kena dengan situasi kini.

Namun, selain daripada filem P.Ramlee, terdapat juga filem Melayu lain yang turut tak lapuk dek zaman untuk ditonton berulang kali. Jalan penceritaan, sinematografi serta pelakonnya menjadikan filem tersebut masih seronok untuk dinikmati meskipun beberapa tahun kemudian. Filem yang disenaraikan ini juga boleh ditonton di Netflix. Tunggu apa lagi, jom menggamit nostalgia dengan filem evergreen ini!

#1 Senario Lang Buana

Pengarah: Mamat Khalid
Pelakon: Azlee, Saiful Apek, Wahid

SEPERTI tajuknya, filem ini dibintangi oleh kumpulan Senario ditayangkan pada 2003. Sedikit berbeza berbanding filem mereka yang lain, filem ini membawa penonton ke era masa lalu iaitu sebelum abad ke-19. Filem ini juga turut memaparkan tema perpaduan kaum dan rakyat yang menentang pencerobohan musuh. Filem komedi tapi sinis ini masih relevan untuk dilayan pada masa kini. Menceritakan mengenai tiga orang pemuda, Gunung, Daik dan Bercabang yang melarikan diri daripada menjadi hamba abdi kepada Orang Kaya Seri Bentan. Mereka bertiga berhenti di sebuah kota bernama Lang Buana di pinggir sebuah sungai dan setibanya mereka di kota itu, pemimpin serta penduduk kota tersebut menyambut baik ketibaan mereka kerana disangka putera raja yang dapat menyelamatkan kot itu daripada serangan Sang Nira. Terperangkap oleh keadaan, ketiga-tiga pemuda berkenaan terpaksa menyamar menjadi putera raja dan merangka taktik peperangan bagi memperkuatkan benteng pertahanan Lang Buana.

#2 Puteri Gunung Ledang

Pengarah: Saw Teong Hin
Pelakon: M. Nasir, Tiara Jacquelina

MEMAPARKAN kisah Puteri Gunung Ledang iaitu puteri Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumillah dari Majapahit yang merajuk dan membawa diri ke Gunung Ledang menunggu masa untuk bertemu dengan Hang Tuah. Walau bagaimanapun, halangan berlaku apabila abang Gusti Putri, Gusti Adipati terpaksa mengahwinkannya dengan Sultan Melaka, Sultan Mahmud. Utusan peminangan diketuai oleh Hang Tuah sendiri. Akhirnya, setelah pelbagai cabaran, Gusti Putri terpaksa menurut permintaan Hang Tuah yang taat pada Sultan, tetapi dengan tujuh syarat. Perutusan pulang ke istana Melaka tanpa Hang Tuah yang kecewa atas kegagalannya. Sultan Mahmud murka dengan kedegilan Gusti Putri dan sanggup menerima cabaran ketujuh-tujuh syarat walaupun bakal meragut nyawa anaknya sendiri.
Tujuh syarat peminangan Gusti Putri terhadap Sultan Mahmud, adalah berunsurkan ‘darah’ yang menguatkan dan menegaskan lagi bahawa jawapan bagi peminangan itu adalah satu penolakan. Sultan Melaka tetap ingin menikahi Puteri Gusti Putri dan hampir mengelar anakandanya sendiri, tetapi dihalang oleh ketibaan Gusti Putri di Istana Melaka. Beliau tidak akan mengahwini Sultan dan nekad untuk bertetap di Gunung Ledang. Sultan memperkenankan permintaannya itu dengan syarat tidak ada sesiapapun dibenarkan melihat Gusti Putri sesudah waktu Subuh. Mereka disumpah mati bermuntahkan darah jika berbuat demikian. Datuk Bendaraha menemui Tuah yang berada dalam keadaan lemah. Dia membenarkan Tuah lari ke dalam hutan untuk mencari Gusti Putri. Tuah tidak sempat tiba sebelum Subuh, tetapi Gusti dapat melihatnya. Mereka mengucapkan deklarasi cinta sesama sendiri meskipun tidak dapat bertemu. Sebahagian peminat filem di Malaysia pastinya mahu menonton naskhah epik ini meskipun sudah 16 tahun ianya ditayangkan.

#3 Mukhsin

Pengarah: Yasmin Ahmad
Pelakon: Syafie Naswip, Sharifah Aryana

MUKHSIN antara salah satu kejayaan pengarah hebat Yasmin Ahmad yang masih dikenang sehingga kini. Mengisahkan kisah cinta pertama kanak-kanak antara Mukhsin yang berumur 12 tahun dan Orked 10 tahun. Orked bukan seperti budak perempuan lain, yang lebih suka bermain masakmasak dan kahwin-kahwin. Dia yang kasar kelakuannya, sukar diterima kanak-kanak lain di kampungnya. Malah, orang kampung memandang aneh keluarga ini seperti ketika Orked dan ibu, Mak Inom bermain hujan sementara ayah, Pak Atan melagukan keroncong. Orked lebih gemar membaca dari bermain bersama rakan seumurnya akan tetapi segalanya berubah apabila kehadiran Mukhsin yang baru pindah di kampung itu telah memberikan suatu erti bagi Orked untuk menghargai kehidupan dan mengenal erti cinta pada ketika itu. Bagaimanapun ketika itu masalah yang timbul ialah Orked masih terlalu mentah untuk bercinta, manakala Mukhsin pula sedang melalui zaman peralihan akil baligh. Hingga hari terakhir Mukhsin meninggalkan kampung Orked, dia masih gagal meluahkan rasa cintanya. Lalu Mukhsin pergi meninggalkan satu kenangan cinta indah buat Orked yang turut diminati seorang kanak-kanak Cina di sekolahnya.

#4 Istanbul Aku Datang

Pengarah: Bernard Chauly
Pelakon: Lisa Surihani, Beto Kusyairy, Tomok

FILEM komedi romantik Malaysia 2012 ini membawa penonton ke Istanbul, Turki. Mengisahkan mengenai Dian, seorang gadis periang dan manja yang sanggup terbang ke Turki untuk berada dekat dengan kekasih hatinya, Azad. Dian juga mempunyai misi iaitu memastikan dirinya dilamar oleh Azad namun ketibaannya tidak disambut gembira oleh Azad. Azad tidak selesa apabila Dian tinggal di rumah sewanya yang turut dihuni oleh dua orang kawannya yang memaksa Dian untuk keluar mencari rumah sewa lain. Akibat ditipu menemukan Dian dengan Harris yang memaksa mereka untuk tinggal serumah buat sementara waktu. Perang dingin mula berlaku di antara Dian dan Harris. Dian juga terpaksa merahsiakan perkara tersebut daripada Azad. Berjayakah misi Dian? Menjadikan blog sebagai salah satu intipati di dalam filem ini sememangnya menarik dan lucu. Menggambarkan dunia blog sebenar di mana Dian sangat teruja mengemas kini laman blognya setiap masa dan bagaimana komen-komen dari pembaca blognya diberi nyawa melalui nada-nada suara yang setiap satu ada maksudnya tersendiri sama ada menyokong, menyindir, sarkastik dan sebagainya. Ianya satu filem yang menarik serta menghiburkan dengan plot kisahnya yang kadang-kadang sukar diduga. Meskipun filem ini diterbitkan sembilan tahun yang lalu akan tetapi ianya masih seronok untuk ditonton sekali lagi dan kini ia sudah ditayangkan di Netflix. Jom layan Istanbul Aku Datang sekali lagi!

-WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas