Berita

Elak kanak-kanak, warga emas hidap sakit kronik masuki pasar raya

ANGGOTA petugas keselamatan mengambil bacaan suhu badan untuk memastikan pelanggan yang masuk ke pasar tidak mempunyai simptom Covid-19 seperti demam.
- Diterbit 17 Mei 2020 2:18 PM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan menyokong usaha pasar raya tertentu meletakkan syarat had umur untuk memasuki premis mereka bagi mencegah golongan berisiko tinggi terdedah jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, warga emas adalah golongan berisiko dan sekiranya mempunyai sakit kronik mereka mempunyai potensi dijangkiti pandemik itu.

“Penyakit kronik contohnya kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung, risiko lebih tinggi. Kanak-kanak di bawah 12 tahun juga adalah kumpulan berisiko.

“Jika kita lihat di hospital pun pelawat berusia bawah 12 tahun tidak dibenarkan. Ini kerana kita bimbang ada jangkitan kuman di klinik atau hospital.

“Kalau boleh jangan bawa kanak-kanak yang berusia 12 tahun ke bawah dan warga emas berusia 60 tahun terutamanya berpenyakit kronik ke atas datang di tempat awam contohnya pasar raya,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata,
22 plasma darah didermakan bekas pesakit Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan namun masih belum digunakan.

“Kita sudah ada tapi tidak digunakan setakat ini dan sekiranya ada keperluan kita akan gunakan,” katanya.

Beliau berkata, plasma darah berkenaan bukan saja disalurkan di Kuala Lumpur tetapi kawasan lain seperti Kuching, Sarawak dan Sabah.

“Plasma darah daripada bekas pekasit Covid-19 yang sudah pulih ini mempunyai tahap respon antibodi yang tinggi dan setakat ini kita masih belum menggunakannya lagi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas