Selebriti

Dulu menangis bisnes gagal, kini Zoey berjaya kerana doa ibu

- Diterbit 9 Februari 2022 8:32 AM MYT

PELAKON Zoey Rahman mengaku pernah menangis di hadapan ibu, Azizah Ibrahim gara-gara produk jualannya itu tidak mendapat ssambutan

Zoey atau nama sebenar Mohd Hairey Abdul Rahman, 37, mendedahkan dia pernah menangis di hadapan ibu, Azizah Ibrahim gara-gara produk jualannya itu tidak mendapat sambutan.

“Ramai tak tahu sebelum saya terkenal dengan perniagaan sekarang ini, saya pernah buat pelbagai bisnes lain lagi pada tahun 2016.

“Saya pernah jumpa mak mengadu dan menangis sebab tak ada orang beli baju yang saya jual, bayangkan stok bertimbun di pejabat.

“Saya bawa stok baju itu dan jual di Terengganu, saya buka booth jualan di sana. Sebelum itu mak saya memang ada jual tudung di bazar Ramadan, jadi saya dapat bantu dia berniaga sekali.

“Ada orang tanya saya tak malu ke lelaki jual tudung? Bagi saya tak perlu malu sebab kita buat benda betul, nak bantu keluarga!

“Alhamdullillah, selepas melalui pelbagai dugaan, akhirnya hari ini saya dapat mengecapi kejayaan atas semangat dari ibu!

“Saya ingat lagi pesanan mak… butakan mata dengan halangan di depan dan pekakkan telinga dengan kata-kata cacian. Itulah penguat untuk saya terus bangkit!” katanya.

Sebelum itu menerusi Instagram, Zoey berkongsi rakaman video memberitahu kejayaannya hari ini adalah atas doa ibu dan keluarga tercinta.

Dalam pada itu, pengasas produk kosmetik Mika Series ini mengakui berpuas hati apabila kerja kerasnya selama ini membuahkan hasil dan dia dapat membalas semula jasa ibu dan ayahnya.

“Dalam perniagaan ni tak boleh cepat putus asa… mungkin awalnya agak berliku tapi hujungnya pasti ada kejayaan.

“Tapi ingatlah walaupun dah berjaya macam mana sekali pun, keluarga jangan lupa sebab mereka kunci kejayaan dan tulang belakang kita,”ujarnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas