Berita

Dua lelaki didakwa bunuh pemasang khemah

|
- Diterbit 17 Disember 2020 6:07 AM MYT

DUA lelaki diihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang pemasang khemah yang ditemukan mati dipercayai ditetak di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Taman Intan Baiduri, Kepong, di sini, bulan lalu.

Penganggur P.Thiagarajan, 42, dan mekanik Elias Zainal Abidin, 44, masing-masing mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa dengan niat bersama-sama telah membunuh seorang lelaki M.Tushilen, 21, di hadapan Blok E, PPR Intan Baiduri, antara jam 10 pagi dan 1 tengah hari, 25 Nov lalu.

Kedua-dua lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 18 Feb tahun depan untuk sebutan semula kes untuk laporan bedah siasat.

Kedua-dua tertuduh yang memakai baju-T dibawa masuk ke dalam mahkamah pada 10.30 pagi dengan diiring beberapa anggota polis.

Turut kelihatan ahli keluarga salah seorang tertuduh yang berada di galeri awam.

Sebelum ini, media melaporkan, mangsa datang ke PPR berkenaan bersama rakannya untuk memasang khemah.

Berdasarkan maklumat awal polis, mangsa dipercayai pergi ke Blok E untuk membeli makanan dan dua suspek yang menaiki motosikal, salah seorang daripadanya telah turun daripada motosikal lalu menetak mangsa. – BERNAMA 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas