Berita

Dr Muhammad Radzi dilantik Ketua Pengarah Kesihatan baharu

- Diterbit 25 April 2023 6:25 AM MYT

DATUK Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan yang baharu.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan hari ini mengucapkan tahniah kepada Radzi atas pelantikannya yang berkuat kuasa 21 April.

“Dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran, serta kredibiliti, saya yakin Dr Radzi mampu memberikan yang terbaik dan menjadi rakan sepasukan bersama saya.

“(Kita akan) memastikan pelaksanaan holistik wawasan kesihatan negara dan agenda pembaharuan selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan, agar masyarakat Malaysia Madani terus menikmati perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh, berkualiti dan mampan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Dr Radzi sebelum ini berkhidmat sebagai ketua jabatan perubatan Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah dan ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Kedah, katanya.

Beliau juga pernah bekerja sebagai ketua Perkhidmatan Gastroenterologi dan Hepatologi dan mempengerusikan kelayakan untuk bidang tersebut antara 2013 dan 2021.

Justeru, pelantikan beliau adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas dalam perkhidmatan kesihatan negara sebagai timbalan ketua pengarah kesihatan (penyelidikan dan sokongan teknikal) di Kementerian Kesihatan sebelum dilantik sebagai ketua pengarah. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas