Berita

Diduga cari wali, kini Balkisyh bahagia jadi isteri frontliner

|BALKISY kini sah isteri Nazri
- Diterbit 26 Disember 2020 10:05 PM MYT

PELAKON drama bersiri Mak Cun Balkisyh Semundur Khan kini sah bergelar isteri kepada jejaka pilihannya yang juga petugas barisan hadapan (frontliner), Mohd Nazri Zakaria kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

Terdahulu majlis pernikahan ini hampir setahun tertunda kerana Balkisy berdepan kesukaran mencari bapanya, Semundur Khan Gulam Khan untuk menjadi wali.

“Alhamdulillah akhirnya segala kesukaran saya untuk mencari bapa kandung sendiri sebagai wali diselesaikan dengan bantuan JAWI. 

“Pada mulanya saya berdepan kesukaran menjejak lokasi sebenar bapa kandung untuk jadi wali. 

“Namun selepas masalah ini mendapat liputan media, segala galanya dipermudahkan. Saya akhirnya sah bergelar isteri sekali lagi,” katanya yang bernikah di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). 

BALKISY kini sah isteri Nazri

Selain JAWI, Balkisy juga mendapatkan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

“Saya berusaha mencari bapa termasuk membuat semakan di JPN dan Jabatan Imigresen, tetapi gagal.

“Saya buat carian di JPN membabitkan rekod kematian dan alamat terakhir. Selepas dua minggu saya diberitahu ayah masih hidup sebab tidak ada rekod kematian dan alamat terakhirnya di Tawau, Sabah. 

“Malangnya, rumah itu sudah dijual sejak lima tahun lalu. Dalam semakan Jabatan Imigresen pun ayah tiada rekod keluar masuk negara sejak empat tahun lalu. 

“Pihak JAWI akhirnya meminta saya menghantar permohonan untuk menggunakan wali hakim,” katanya yang pernah lapan kali turun naik pejabat agama namun permohonan tetap ditolak.

Balkisy  mula mengenali suaminya yang juga seorang pekerja barisan hadapan sekitar tiga tahun lalu.

“Dia duda tak ada anak. Dan dia menjadi lelaki yang boleh menerima  masalah dan pahit getir hidup ini. Malah lebih utama, dia dapat menerima dan serasi dengan dua anak saya.

“Dialah yang selama perkenalan begitu tabah dan melalui kesukaran dilalui bersama. Kebaikan dan peribadi dimilikinya juga mengatasi segala galanya,” ujarnya dengan penuh kesyukuran. 

Balkisyh pernah berkahwin dengan Mohd Aizad Rosli pada 2007 dan bercerai pada 5 September 2017.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak iaitu Nur Qalesya, 9, dan Muhamad Nor Qaisyh Khan, 4. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas