Depot Imigresen Bukit Jalil kluster terbaru Covid-19

Depot Imigresen Bukit Jalil kluster terbaru Covid-19

PUTRAJAYA – Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil dikenal pasti sebagai kluster terbaru Covid-19 selepas 35 kes positif virus itu dikesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, secara keseluruhan daripada seramai 645 orang diambil sampel, 35 daripadanya dikesan positif Covid-19.

Katanya, 400 kes lagi negatif manakala keputusan persampelan 210 individu masih belum diterima

“Kesemua 35 kes positif itu membabitkan warga asing iaitu Myanmar (17); India (15) dan masing-masing satu warga Sri Lanka, Bangladesh dan Mesir.

“Pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan sudah dijalankan di kawasan terbabit termasuk aktiviti nyah kuman, pendidikan kesihatan seperti penjagaan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta penekanan mengenai penjarakan sosial.

“Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan kesihatan ke semua pusat depot tahanan secara berjadual.

“Perkhidmatan ini diberikan oleh pasukan dari Klinik Kesihatan terdekat terdiri daripada Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat Terlatih dan Jururawat Masyarakat.

“Pelbagai perkhidmatan sudah diberi seperti rawatan penyakit ringan, rawatan awal kecemasan, pemeriksaan kesihatan ibu hamil, kesihatan bayi dan kanak-kanak termasuk suntikan imunisasi berdasarkan jadual imunisasi kebangsaan.

“Kes yang memerlukan rawatan pesakit dalam dan kes kecemasan seperti ibu yang bakal bersalin akan dirujuk ke hospital Kementerian Kesihatan yang berdekatan dan semua perkhidmatan yang diberikan ini tidak dikenakan sebarang fi,” katanya.

Katanya, bagi memastikan kes jangkitan Covid-19 dapat dikesan sepenuhnya, Pejabat Kesihatan Daerah akan menggunakan pendekatan tertumpu seperti siasatan, pengesanan kontak rapat, penilaian risiko oleh pihak berkaitan, saringan gejala dan persampelan untuk mengesan kes secara aktif. – WILAYAHKU

CATEGORIES