Berita

Covid-19: 50 kes baharu, 90 pulih

- Diterbit 21 Mei 2020 1:23 PM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 50 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini dengan tiga kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 7,059 kes.

Katanya, daripada 47 kes penularan tempatan, 41 kes membabitkan warga asing dengan 34 kes dikesan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil.

“Mereka berada di dalam tahanan sejak sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu,” katanya dalam sidang media harian di sini hari ini.

Beliau berkata, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 membabitkan 1,149 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

“Sehingga kini, 10 kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), tujuh daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dalam negara terus meningkat kepada 5,796 kes dengan kadar kesembuhan 82.1 peratus.

“Peningkatan itu susulan pertambahan 90 lagi kes pulih dan dibenarkan discaj daripada fasiliti Kementerian Kesihatan selain melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian baharu dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 114 kes atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas