Berita

30 ahli keluarga wanita mengandung positif Covid-19 disaring

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 21 Mei 2020 1:54 PM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan sudah melakukan saringan terhadap 30 ahli keluarga wanita hamil di Kelantan yang disahkan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 20 ahli keluarga wanita terbabit dikesan negatif Covid-19 manakala 10 lagi masih menunggu keputusannya.

“Daripada segi kontak rapat pula, kita akan lihat sama ada di tempat destinasi itu atau tempat asal di Ampang dengan menjalankan saringan, ” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Semalam, KKM mengesahkan bahawa wanita hamil 35 minggu itu positif Covid-19 selepas melakukan rutin pemeriksaan di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Kuala Krai, Kelantan.

Wanita berkenaan melakukan perjalanan dari Ampang yang merupakan kawasan berstatus zon merah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob sebelum ini berkata, polis memberi kebenaran kepada seorang wanita mengandung itu merentas negeri dari Ampang, Kuala Lumpur untuk bersalin di kampung halamannya di Kelantan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas