Berita

Demi kebajikan masyarakat

KWP menerusi agensinya turun padang membantu mangsa banjir dengan membersihkan rumah serta menyalurkan bantuan berkaitan. KWP menerusi agensinya turun padang membantu mangsa banjir dengan membersihkan
- Diterbit 2 Januari 2022 1:30 AM MYT

HUJAN lebat yang turun selama dua hari berturut-turut telah menenggelamkan sebahagian bandar Selangor dan ia dicatatkan sebagai banjir terburuk yang pernah berlaku.

Meskipun rata-rata penduduk sudah sinonim dengan banjir yang berlaku setiap tahun namun mereka tidak menyangka akan berlaku bah sebesar ini seterusnya menjadikan mereka sehelai sepinggang apabila paras air meningkat dalam sekelip mata.

Memahami musibah yang menimpa mangsa terjejas, Yayasan Wilayah Persekutuan merentasi negeri bagi membantu dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas di Dengkil, Hulu Langat, Taman Sri Muda dan Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata sumbangan dari segi makanan dan juga tenaga kerja diberikan bagi meringankan beban mangsa.

“Bantuan yang diberikan adalah makanan, pakaian serta bantuan asas seperti tilam, bantal dan kita juga telah mengerahkan lebih 500 sukarelawan di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Selain bantuan makanan diberikan, kita juga menyediakan makanan buat para petugas di Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) memandangkan kita faham agak sukar juga buat petugas untuk mendapatkan bekalan makanan di kawasan terjejas banjir,” katanya.

Beliau berkata mangsa kebakaran di Perumahan Awam (PA) Flat Sri Johor tidak ketinggalan apabila dirinya sendiri turun padang bagi melihat keadaan dan keperluan mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Ketika tinjauan yang saya lakukan mereka memerlukan barangan seperti tilam, bantal serta selimut dan kita telah pun beri barangan tersebut kepada mereka.

“Bantuan akan terus diberikan mengikut keperluan di setiap PPS dari semasa ke semasa,” jelasnya yang komited dalam membantu mangsa bencana.

Tambahnya setinggi penghargaan diberikan kepada setiap sukarelawan dan juga agensi di bawah KWP yang telah menyumbang tenaga dalam operasi pasca banjir.

“Kita kini telah berada di pasca banjir di mana ia lebih kritikal melibatkan baik pulih, pembersihan dan banyak lagi.

“Kita akan cuba bantu sebaik mungkin bagi membolehkan mangsa yang terjejas kembali menjalani kehidupan seperti sebelum ini dengan segera,” ujar beliau. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas